Barcelona dilaporkan sedang bersiap sedia untuk menggegarkan asas pasaran perpindahan Eropah apabila merancang satu langkah besar.

Selepas beberapa musim penuh dengan masalah kewangan kronik, gergasi Catalan itu kini bersedia dengan perpindahan sensasi melibatkan mesin gol Manchester City, Erling Haaland serta bintang Atletico Madrid, Julian Alvarez.

Perkembangan terkini mengenai minat Barcelona itu disahkan sumber laporan Goal.

Selepas bertahun-tahun mengamalkan langkah berjimat cermat dari sudut kewangan, mesej dari dalam Camp Nou memberi bayangan bahawa The Blaugrana akhirnya kembali berada dalam kedudukan untuk bersaing mendapatkan nama-nama terbesar dalam bola sepak dunia sekali lagi.

Kewangan Barcelona Sudah Pulih

Joan Soler, figura penting yang telah berkhidmat dalam ahli lembaga pengarah diketuai Joan Laporta sejak 2021, memberikan perkembangan besar mengenai kemampuan kelab untuk melaksanakan perpindahan berprofil tinggi seperti itu.

Soler mengesahkan bahawa kelab mempunyai kapasiti untuk menampung kos besar yang sering dikaitkan dengan penyerang elit bola sepak moden.

Kenyataannya memberi gambaran bahawa tempoh “economic levers” serta langkah pemotongan gaji sebelum ini telah membuka laluan kepada jendela perpindahan musim panas yang berpotensi menjadi penentu kepada penggal semasa Laporta.

Lebih-lebih lagi ketika beliau sedang memburu peluang untuk sekali lagi diangkat sebagai presiden kelab.

Ketika membincangkan kemungkinan ketibaan fenomena Norway, Erling Haaland atau juara Piala Dunia Argentina, Julian Alvarez, Soler tampil cukup telus mengenai kesiapsiagaan kelab.

“Ya, kami boleh menandatangani pemain seperti Julian Alvarez atau Haaland. Pembelian seperti ini akan ‘membayar balik’ nilainya dalam tempoh lima tahun dan kewangan Barca sudah bersedia untuk sesuatu seperti ini.”

“Pada akhirnya, Barca perlu sangat berhati-hati dalam menentukan pemain yang ditandatangani dari segi struktur gaji.”

“Kami telah menetapkan had dan kami tidak akan melampauinya. Kami perlu menandatangani pemain mengikut harga pasaran, dengan mengambil kira skala gaji kami,” tambah Soler lagi.

Sumber