Atletico Madrid kini tampil menjelaskan pendirian mereka berhubung kemelut Julian Alvarez yang semakin hangat selepas pemain itu dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.

Menurut laporan Marca, Atletico melihat diri mereka sebagai satu satunya mangsa dalam situasi tersebut.

Namun media pula menjadikan Julian Alvarez seolah olah menjadi mangsa dalam situasi yang sedang berlaku.

Kelab berkenaan merasakan mereka telah menjadi sasaran pelbagai dakwaan dan tekanan sejak isu perpindahan Alvarez mula tercetus.

Atletico menegaskan bahawa mereka tidak pernah menghalang pemain Argentina itu daripada meninggalkan kelab.

Sebaliknya, mereka mendakwa sudah memberikan beberapa pilihan kepada Alvarez termasuk tawaran kontrak baharu yang akan menjadikannya antara pemain dengan gaji tertinggi dalam skuad.

Atletico Madrid itu juga dikatakan pernah menetapkan tarikh tertentu untuk menerima tawaran bernilai sekitar 150 juta euro bagi Alvarez.

Namun tiada tawaran yang menepati syarat tersebut diterima oleh pihak kelab.

Dalam masa sama, Barcelona terus dikaitkan sebagai destinasi pilihan Alvarez.

Presiden Barcelona Joan Laporta turut mengakui bahawa kelabnya masih berminat untuk mendapatkan penyerang tersebut sekiranya Atletico bersedia melakukan rundingan.

Bagaimanapun, Atletico dilaporkan langsung tidak berminat untuk menjual Alvarez kepada Barcelona.

Keadaan menjadi semakin tegang selepas Alvarez menerima siulan daripada penyokong Atletico ketika namanya diumumkan sebelum perlawanan menentang Villarreal.

Situasi ini menunjukkan kemelut tersebut sudah melepasi isu perpindahan semata mata. Hubungan antara pemain dan penyokong turut mula terjejas.

Atletico kini berdepan satu dilema besar. Mereka mempunyai hak untuk mengekalkan Alvarez berdasarkan kontraknya sehingga 2030, tetapi pada masa sama perlu mengurus seorang pemain yang dikaitkan kuat dengan keinginan untuk meninggalkan kelab.

Barcelona pula masih menunggu peluang untuk mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu.

Jika Alvarez akhirnya kekal di Madrid, Atletico mungkin berjaya mempertahankan aset mereka.

Namun persoalannya ialah sama ada mereka mampu mengembalikan hubungan baik antara Alvarez dengan penyokong.