Situasi Julian Alvarez di Atletico Madrid dilaporkan semakin serius apabila penyerang Argentina itu didakwa sedang melalui tempoh yang amat sukar sehingga mengalami kemurungan teruk.

Menurut laporan dari Sepanyol, Alvarez dikatakan telah menyerahkan sijil sakit kepada Atletico Madrid yang menyatakan dia mengalami depresi dan memerlukan masa untuk berehat.

Lebih membimbangkan, beberapa laporan mendakwa Alvarez sudah lebih seminggu tidak menjalani latihan, selain hampir tidak makan dan kehilangan beberapa kilogram berat badan.

Ujian yang dijalankan juga didakwa mengesahkan keadaan kesihatan pemain tersebut, sekali gus menjadikan masa depannya di Atletico Madrid semakin tidak menentu.

Dalam perkembangan sama, Gil Marin yang merupakan pemegang saham majoriti Atletico Madrid didakwa cuba mengawal situasi tersebut bagi membuka laluan kepada Alvarez untuk meninggalkan kelab dan menjualnya ke Arsenal.

Arsenal sebelum ini dikaitkan sebagai antara destinasi yang berminat mendapatkan penyerang berusia 26 tahun itu.

Bagaimanapun, perkembangan tersebut dikatakan mencetuskan konflik dalaman di Atletico Madrid. Wakil Apollo dilaporkan berang dan berdepan dengan Gil Marin, sambil menuntut supaya aspek kesihatan Alvarez diberikan keutamaan.

Beberapa staf di Atleti juga benar benar simpati dan bimbang dengan keadaan Julian Alvarez.

Untuk masa ini, perkara paling jelas ialah Alvarez mahu meninggalkan Atletico Madrid dan Barcelona dikatakan menjadi destinasi pilihannya.

Namun, Atletico enggan melepaskannya ke Barcelona.

Hubungan antara kedua-dua kelab sememangnya tidak begitu baik selepas Atletico sebelum ini secara terbuka mengkritik Barcelona dan menggelar mereka sebagai kelab yang tidak boleh dipercayai dalam urusan perpindahan.

Justeru, situasi Alvarez kini menjadi semakin rumit. Dia mahu keluar dan Barcelona menjadi pilihan utamanya.

Tetapi Atletico Madrid tidak mahu membuka pintu untuknya menyertai kelab Catalan tersebut selepas mereka mendakwa Barca sebagai kelab penipu.

Apa yang berlaku seterusnya bergantung kepada bagaimana Atletico mengendalikan situasi ini, terutama jika benar keadaan kesihatan Alvarez sudah berada pada tahap yang serius seperti didakwa.