Jurulatih veteran Belanda, Dick Advocaat yang berjaya membawa Curacao ke Piala Dunia 2026 terpaksa melupakan tugasan tersebut nanti.

Hal ini kerana beliau telah meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih susulan masalah kesihatan anak perempuannya.

Walaupun ia merupakan kemaraan pertama kali dalam sejarah buat Curacao, namun pengendali berusia 78 tahun itu mengambil keputusan besar untuk lebih mengutamakan keluarganya.

Advocaat Lakar Sejarah Buat Curacao

Pada usia sebegitu, , Advocaat sepatutnya menjadi jurulatih paling berusia dalam sejarah pusingan akhir Piala Dunia.

Beliau sebelum ini menyifatkan kejayaannya membawa pulau yang mempunyai populasi sekitar 150,000 penduduk itu ke Piala Dunia sebagai perkara ‘paling gila’ pernah dicapainya sepanjang hampir empat dekad karier kejurulatihan.

Namun, semua itu nyata tidak penting buat beliau dan sudah pasti tiada kekesalan dalam dirinya berhubung keputusan yang telah diambilnya.

“Saya sentiasa berkata bahawa keluarga adalah lebih utama daripada bola sepak. Jadi ini adalah satu keputusan yang sudah jelas.”

“Namun, sudah tentu itu tidak mengubah hakikat bahawa saya akan sangat merindui Curacao, masyarakat di sana dan rakan-rakan sekerja saya,” ujar Advocaat menurut sumber laporan BBC.

Kekosongan ditinggalkan itu diisi oleh rakan senegaranya yang merupakan bekas pengurus PSV Eindhoven, Fred Rutten.

Dick Advocaat sememangnya mempunyai pengalaman yang cukup luas dimana pernah beberapa fasa membimbing skuad kebangsaan Belanda.

Selain itu, beliau pernah menabur bakti bersama skuad kebangsaan Korea Selatan, Belgium, Rusia, Serbia, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Di peringkat kelab pula, antara kelab yang pernah dibimbing olehnya ialah PSV, Feyenoord, Rangers, Fenerbahce dan Sunderland.

Di Piala Dunia 2026 nanti, Curacao berada dalam kumpulan E bersama Jerman, Ivory Coast dan Ecuador.

Sumber