Seorang jurulatih dari Australia yang pernah beraksi di Liga Malaysia suatu ketika dahulu kini disebut-sebut bakal jadi pembantu pengendali baharu Selangor FC (SFC), Nidzam Jamil.
Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SFC (SFC) Datuk Dr Johan Kamal Hamidon yang mengatakan kelab memberi tanggungjawab kepada Nidzam untuk memilih sendiri pembantunya dalam mengendali skuad Gergasi Merah bagi musim ini.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- 5 Tanda Status Kewangan Anda Lebih Baik Daripada Kebanyakan Individu Lain
“Kita akan membawa masuk dua ke tiga pegawai baharu, Nidzam sedang meneliti resume, kita memberi mandat dan tanggungjawab ini kepada Nidzam untuk memilih sendiri siapa yang perlu ada dalam barisan beliau.
“Ada beberapa calon, berkemungkinan ketua jurulatih akan bawa masuk seorang penolong jurulatih dari luar negara, antaranya beliau (calon) pernah menjadi pemain di Malaysia zaman Nidzam, dari Australia,” katanya dipetik dalam Bernama.

Sementara itu, Nidzam berkata beliau mahu seorang jurulatih tempatan dan seorang jurulatih luar membantunya untuk memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim ini.
“Kita ada kenal pasti calon, kita akan bawa masuk jurulatih dari luar dan seorang tempatan, dalam masa sama kita kena ada jurulatih tempatan untuk mantapkan Selangor FC.
“Kriteria paling penting untuk bakal pembantu jurulatih ialah dia berpengetahuan luas, tahu hala tuju Selangor FC, jelas tentang cita-cita kami, dan ada pengalaman di peringkat Asia,” katanya.