Ketua jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic memberi bayangan sudah ada ‘formula’ untuk menewaskan Harimau Malaya pada aksi final Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Beliau juga telah mendapat sedikit gambaran mengenai kualiti pemain negara menerusi Rabih Ataya dan Khalil Khamis yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Baca Juga:

Malah, pengendali dari Montenegro turut mendedahkan telah memiliki maklumat tambahan mengenai kekuatan skuad Harimau Malaya daripada pemain Terengganu dan KL City.

“Sudah pasti kami menggunakan beberapa maklumat dari mereka (Ataya dan Khamis), tapi saya juga dapat maklumat dari pemain Montenegro iaitu (Argzim) Redzovic dan Adrijan Rudovic yang beraksi untuk Terengganu dan Kuala Lumpur City.

“Saya dapat maklumat daripada mereka mengenai kejohanan, liga dan kualiti beberapa pemain (Malaysia),” katanya pada sidang media semalam.

FOTO: FAM

Ataya yang beraksi di posisi sayap pernah menyarung jersi UiTM FC pada musim 2020 dan Kedah (2021), manakala Khamis pula bermain untuk pasukan Pahang.

Radulovic menjelaskan bahawa dia sudah membuat analisis mengenai corak permainan skuad kendalian Pau Marti Vicente itu ketika berdepan Filipina, Rabu lalu.

Beliau mengakui Malaysia memiliki sedikit kelebihan kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri dan dibantu beberapa pemain naturalisasi.

“Ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar esok, tapi kami bersedia dan satu penghormatan untuk berada di pentas akhir.

“Saya jangka esok ramai penyokong yang akan hadir kerana ini adalah final. Bagi kami, ia bagus juga selain cuaca akan berbeza kerana aksi sebelum ini kami bermain jam 4 petang. Jadi ia akan jadi lebih baik buat kami,” katanya dipetik dalam Berita Harian.