Jurulatih berpengalaman, Datuk Misbun Sidek tanpa berselindung mengakui bahawa beliau sudi untuk membantu pemain badminton perseorangan, Lee Zii Jia kembali menemui prestasi terbaiknya.

Pernah membimbing Zii Jia sewaktu pemain tersebut di peringkat remaja, Misbun bagaimanapun menegaskan bahawa pemain yang sedang bergelut itu terlebih dahulu perlu bersedia menerima nasihatnya.

Misbun percaya ada sesuatu yang menghalang pemain berusia 28 tahun itu daripada kembali ke tahap yang pernah menyaksikannya menjuarai All England pada 2021.

Ranking Dunia
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Selepas mengalami kecederaan buku lalu pada aksi terakhir peringkat kumpulan BWF World Tour Finals 2024, Lee Zii Jia terus bergelut untuk memperagakan aksi terbaiknya dan keadaan pada ketika ini dilihat semakin membimbangkan.

Terbaharu, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu kalah kepada pemain ranking ke-88 dunia dari Taiwan, Wu Zhe Ying di pusingan pertama Terbuka Vietnam yang berstatus Super 100.

Sehubungan dengan itu, Misbun Sidek tidak berdepan masalah untuk memberikan bantuan terutamanya daripada segi nasihat.

Misbun Sidek Sedia Bantu Lee Zii Jia

“Kalau dia mahukan nasihat, saya boleh beri nasihat. Tetapi adakah dia mahukannya?” kata Misbun menurut sumber laporan New Straits Times (NST).

“Ia seperti seekor kuda. Anda boleh membawanya ke tempat air, tetapi jika kuda itu tidak dahaga, ia tidak akan minum.”

“Kalau dia mahukannya, dia akan mencari jalan kerana dia pernah mencapai tahap tersebut sebelum ini.”

“Dia pernah menjadi juara All England dan pernah berada dalam kelompok pemain terbaik. Bukannya dia tidak pernah mencapai tahap tersebut.”

“Persoalannya, apakah yang menghalangnya daripada kembali ke tahap itu? Itu sesuatu yang perlu diteliti oleh jurulatihnya.”

Orleans Masters 2025
Kredit Foto: Victor Malaysia

“Buat masa ini, saya hanya boleh memberikan nasihat kepadanya. Saya melihat dia sebagai seorang yang baik dan masih mahu bermain.”

“Saya percaya dia masih mahu bersaing. Dia terus mencuba, walaupun sukar baginya untuk menyertai kejohanan-kejohanan kecil.”

“Ada sesuatu dalam dirinya yang menghalangnya. Apakah perkara itu, dan siapa yang boleh membongkarnya untuk membantu dia?” tambah Misbun Sidek lagi.