Pasangan semakin meningkat naik, Kang Khai Xing-Aaron Tai meneruskan rentak cemerlang di St. Jakobshalle, Basel apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Swiss 2026.

Gandingan berusia 20 tahun itu menjadikan pasangan pilihan ketiga kejohanan, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dari Indonesia sebagai mangsa terbaharu mereka dengan kemenangan 21-12, 21-23, 21-16.

Ia jelas merupakan perkembangan yang cukup menarik untuk disaksikan kerana sebelum ini di pusingan pertama, Khai Xing-Aaron turut menewaskan pasangan lebih berpengalaman, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat.

Lagi Tugas Mencabar Nanti Kang Khai Xing-Aaron Tai

Dengan kemenangan tersebut, Khai Xing dan Aaron akan berhadapan dengan wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan.

Aksi suku akhir itu dijadualkan berlangsung pada jam 9.50 malam di gelanggang dua.

Namun hasrat untuk melihat empat lagi wakil negara meneruskan kemaraan ke suku akhir tidak kesampaian selepas Justin Hoh, Wong Ling Ching, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dan Jimmy Wong-Lai Pei Jing tewas kepada lawan masing-masing.

Terbuka Swiss 2026 merupakan kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang berstatus Super 300.

Ia merupakan kejohanan ketujuh pada musim ini dalam lingkungan status Super 300 hingga ke Super 1000 selepas Terbuka Malaysia, Terbuka India, Indonesia Masters, Thailand Masters, Terbuka Jerman dan All England.