Salah satu daripada tujuh kapal tangki bahan api Malaysia yang melalui Selat Hormuz telah mengalami kerosakan dan tidak dapat berlepas dari sebuah pelabuhan di sana, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Daripada kapal-kapal yang terlibat, satu telah pun tiba di Malaysia manakala sebuah lagi sedang menghampiri perairan negara, petik New Straits Times.
“Satu telah sampai, dan satu lagi sudah dekat, memasuki perairan Malaysia.
“Bagi yang lain, walaupun mereka telah diberikan pelepasan, kita terus memantau keadaan,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya.
Anwar berkata Iran telah memberikan pelepasan kepada kesemua tujuh kapal tersebut.
“Bagaimanapun, satu daripadanya menghadapi masalah teknikal dan tidak dapat meninggalkan pelabuhan. Memandangkan perkembangan terkini, kita menghadapi beberapa cabaran,” katanya.