Malaysia meraih kemenangan kedua dalam Kelayakan Piala Asia Futsal 2025 selepas membelasah Bangladesh 7-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, sebentar tadi.
Kemenangan itu penting untuk dilakarkan barisan pemain negara menjelang pertemuan dengan jaguh dunia, Iran pada aksi terakhir, Rabu nanti.
Berdepan lawan yang asing dalam sukan futsal itu jelas memperlihatkan penguasaan ditampilkan anak buah Rakphol Sainetngam.
Malaysia hampir dihadapan pada minit keenam menerusi Ridzwan Bakri tetapi rembatannya selepas berjaya menggunakan skill individu menarik di sudut sukar sekadar singgah di tiang gol.
Seminit kemudian, Awalluddin Mat Nawi menebus kehampaan tersebut dengan jaringan pembukaan hasil percubaan leret yang menewaskan penjaga gol, Md Jahid Hassan Rabbi.
Kegembiraan skuad negara itu bagaimanapun hanya mampu bertahan seminit sahaja apabila Fayed Azim menyamakan kedudukan menerusi serangan balas pantas.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad negara tampil dengan lebih garang untuk memburu jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-16.
Berpunca daripada gerakan Danial Dain mencari Awalluddin yang kemudiannya melorongkan kembali bola kepada Danial untuk melakukan tolakan bagi memberikan jaringan kedua buat skuad negara pada minit ke-16.
Skuad negara melebarkan kedudukan berselang dua minit kemudian selepas percubaan awal dilakukan Syahir Iqbal Khan Akbar Khan membias terkena Mahadir Harahap bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Memasuki babak kedua, Malaysia menambah empat lagi jaringan menerusi Syahir Iqbal (minit ke-23), Mahadir Harahap (minit ke-28), Saad Sani (minit ke-36) dan Faris Johan pada minit ke-36 sekali gus melengkapkan kemenangan besar buat skuad negara.
Kedudukan ini bagaimanapun masih belum mengesahkan kemaraan Malaysia ke pusingan akhir Piala Asia Futsal 2026 kerana sekiranya Bangladesh menamatkan saingan kumpulan di kedudukan keempat, mata Malaysia pada perlawanan ini tidak akan dikira.
Hal ini kerana terdapat satu kumpulan yang mempunyai tiga pasukan sahaja berbanding kumpulan lain dengan empat pasukan.
Sehubungan dengan itu, kepastian untuk menyaksikan Malaysia layak beraksi di Jakarta hanya akan dapat ditentukan selepas tamat aksi ketiga pada Rabu nanti.