Malaysia berada satu kumpulan bersama-sama naib juara edisi lalu, Thailand dalam saingan Piala ASEAN Hyundai 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 24 Julai hingga 26 Ogos nanti.

Selain Thailand dan Malaysia, undian yang diadakan di Jakarta sebentar tadi menyaksikan Filipina, Myanmar dan Laos turut berada dalam kumpulan B.

Ini bermakna kumpulan A Piala ASEAN Hyundai bakal menampilkan Vietnam selaku juara bertahan bersama-sama Singapura, Indonesia, Kemboja dan pemenang antara Timor Leste bertemu Brunei.

Berdasarkan undian dan penilaian di atas kertas, skuad negara tidak boleh memandang rendah keupayaan Filipina, Myanmar dan Laos.

Penjenamaan Semula Kepada Piala ASEAN Hyundai 2026

Memasuki edisi ke-16, saingan Piala ASEAN ini dijenamakan semula selepas Hyundai Motor Co telah memeterai perjanjian penajaan bersama Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF).

Thailand muncul pemenang terbanyak dalam sejarah pertandingan yang sebelum ini turut dikenali sebagai Piala Tiger dan Piala AFF itu dengan tujuh kali kejuaraan iaitu pada 1996, 2000, 2002, 2014, 2016, 2020 dan 2022.

Singapura memenanginya sebanyak empat kali (1998, 2004, 2007 dan 2012) dan Vietnam mengekori dengan tiga kejuaraan (2008, 2018 dan 2024).

Manakala, Malaysia muncul juara edisi 2010 ketika skuad Harimau Malaya dibimbing Datuk K. Rajagopal.

Edisi lalu menyaksikan Vietnam yang dikendalikan Kim Sang Sik berjaya menundukkan Thailand 5-3 secara agregat.

Malaysia pula gagal melepasi peringkat kumpulan selepas hanya menamatkan saingan di kedudukan ketiga berikutan keputusan seri dicatatkan ketika bertemu Kemboja (2-2) dan Singapura (0-0).