Genap setahun insiden pilu melibatkan Faisal Halim apabila pemain Selangor itu menjadi mangsa serangan asid ketika beliau berada di salah sebuah pusat membeli belah di Lembah Klang.
Daripada terlantar di katil hospital hingga bangkit dengan cukup kuat untuk kembali menyarung jersi Selangor dan skuad kebangsaan, si pelaku terhadap anak kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu masih belum dapat dikenalpasti.
Baca Juga:
- Faisal Halim Pakai Topeng Rekaan Khas Penyelidik Universiti Malaya
- Ketua Polis Negara Tegaskan Siasatan Kes Faisal Halim Masih Berjalan
- Selangor Pertimbang Guna Undang-Undang Untuk Kes Faisal Halim
Sehubungan dengan itu, Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co yang mewakili Faisal Halim tampil untuk memberikan penjelasan lanjut bagi pihak anakguamnya mengenai siasatan kes tersebut.
Ternyata perkembangan terkini itu jelas mengecewakan apabila kes ini akhirnya telah diklasifikasikan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ kerana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengesan petunjuk serta suspek kes ini.
Pendedahan Peguam Terhadap Siasatan Kes Faisal Halim
“Kami membuat kenyataan di sini sebagai peguam yang mewakili anakguam kami, Faisal Halim, berhubung kes serangan simbahan asid terhadap beliau pada bulan Mei 2024.”
“Sepanjang tempoh siasatan kes ini, pihak kami telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya.”
“Ini termasuklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu mereka membuat siasatan menyeluruh berkenaan dengan kes ini.”
“Selain itu, pihak kami juga menghantar beberapa surat kepada pihak berkuasa, antaranya surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk menggesa agar siasatan kes ini dipantau dan diberi kepentingan yang sewajarnya.”
“Walaubagaimanapun, kami telah menerima satu surat dari Jabatan Peguam Negara, dimana pihak kami dimaklumkan bahawa kes ini sudah diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” ataupun ‘No Further Action (NFA)’.”
“Surat tersebut juga menyatakan bahawa pihak PDRM tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu sebagai suspek, dan segala usaha yang telah dijalankan bagi tujuan tersebut tidak membuahkan hasil.”
“Ternyata bahawa anakguam kami berasa kecewa dengan hasil siasatan tersebut. Kami akan teruskan perbincangan dengan anakguam kami untuk menentukan langkah-langkah yang seterusnya,” menurut kenyataan peguam tersebut hasil sumber daripada wartawan TV3, Syakirah Zulkifly.