Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa pihaknya tidak berhenti daripada mencari maklumat serta petunjuk baharu dalam kes simbahan asid terhadap pemain Selangor, Muhammad Faisal Abdul Halim.

Menurut sumber laporan BH Online, Razarudin mendedahkan seramai 23 individu sudah diambil keterangan dan tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan.

Baca Juga:

Namun usaha tersebut masih menemui jalan buntu kerana si pelaku masih lagi belum dapat diberkas oleh pihak polis.

“Daripada tangkapan dilakukan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman membuat siasatan secara terperinci, namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit.”

“Hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga suspek mendapati tiada bukti atau perbualan yang mereka terlibat dalam kes itu.”

“Malah, pihak JSJ juga melakukan pemeriksaan terhadap akaun-akaun bank mereka (suspek), namun tiada sebarang transaksi wang meragukan atau upah bayaran ditemukan,” ujar Razarudin kepada BH Online.

Persoalan itu ditanyakan oleh pihak media kepada pihak Polis selepas laporan BH Online semalam yang mengatakan pihak kerajaan Selangor masih menunggu laporan siasat berhubung kes melibatkan bekas pemain kebangsaan tersebut.

Razarudin juga dalam pada itu mengharapkan agar orang awam yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut boleh menyalurkannya kepada pihak polis.

Pada 5 Mei lalu, Faisal Halim menghadapi musibah terbesar dalam hidupnya apabila beliau menjadi mangsa simbah asid di perkarangan tempat letak kereta salah sebuah pusat membeli belah.

Walaupun Faisal atau mesra dengan panggilan ‘Mickey’ itu sudah boleh kembali beraksi tetapi terdapat beberapa anggota badannya terutamanya di bahagian muka dan tangan kiri melecur teruk hingga meninggalkan bekas yang mungkin akan kekal sebegitu rupa.

Semangat juang tinggi Faisal Halim untuk kembali turun ke padang jelas membuktikan jiwa besar dalam mengharungi detik sukar dalam hidupnya.

Sumber