Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berpendapat saingan Liga Malaysia yang akan bermula pada Mei ini akan memainkan peranan besar bagi menentukan nasib Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Pasukan negara tewas dalam dua perlawanan menentang Oman dan menurut pengendali dari Korea Selatan itu, salah satu faktor mengapa pasukan negara tewas adalah kerana pemain kekurangan match fitness kerana tiada perlawanan kompetifif yang berlangsung sebelum aksi kelayakan.
Baca Juga:
- Ditanya Adakah MFL Tidak Membantu Skuad Kebangsaan, Ini Jawaban Kim Pan-gon
- Kim Pan-gon Akui Malaysia Perlu Keajaiban Untuk Layak Ke Piala Dunia 2026
- Kim Pan Gon Tuntut Janji Kontraktor Beri Padang Yang Terbaik
Menurut Pan-gon, situasi akan berbeza apabila saingan liga sudah bermula kerana pemain akan mendapat minit permainan yang cukup sebelum beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Ia akan lebih baik daripada situasi ketika ini. Apabila liga bermula, pemain akan beraksi sekurang-kurangnya tiga atau empat perlawanan.
“Situasi sekarang ialah pemain baru kembali dari bercuti. Kami meminta kelab untuk membantu kami. Perkara ini memberikan situasi yang sukar bagi pasukan,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Selepas tewas dengan keputusan 2-0 di laman sendiri dan tempat lawan, Pan-gon menegaskan pasukan negara memerlukan keajaiban untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan.
Beliau mengakui kekalahan itu sukar diterima oleh dirinya dan juga pemain namun percaya masih ada peluang untuk pasukan negara layak ke saingan kelayakan pusingan ketiga sekaligus cuba beraksi di Piala Dunia.
“Kita masih ada dua perlawanan untuk dihadapi. Kita masih mempunyai peluang namun memerlukan keajaiban. Para pemain tidak akan menyerah kalah dan akan terus berjuang bermati-matian. Ini bukan penghujungnya.
“Kita perlu menuju terus ke hadapan. Dua tahun lalu kita berada di ranking ke-154, kini Malaysia berada di ranking ke-132,” katanya.
Kim turut mempertahankan para pemain selepas bertungkus-lumus beraksi untuk negara meskipun hasil tidak memihak kepada Malaysia.