Kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan 14 juta pengguna di bawah sistem BUDI95 dikesan menggunakan bahan api melebihi kuota bulanan yang ditetapkan sebanyak 200 liter.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, data terperinci tersebut berjaya dikesan menerusi aktiviti pemantauan harian berkala yang dibuat berdasarkan nombor kad pengenalan (MyKad) pengguna, petik New Straits Times.
“Sesiapa sahaja yang menggunakan sistem BUDI95 wajib mendaftarkan kad pengenalan mereka ke dalam sistem. Terdapat sekitar tiga juta transaksi direkodkan setiap hari. Pihak kami meneliti data ini di dalam pangkalan data, sekali gus membolehkan kami melihat, menganalisis dan membuat pengesahan.
“Sejak Oktober 2025 sehinggalah bulan lalu, kami mendapati sistem Budi95 telah beroperasi dengan sangat lancar di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN–Simpang Renggam) berhubung langkah kerajaan untuk menyeragamkan subsidi bahan api bersasar menggunakan MyKad bagi urusan pembelian diesel.
Majoriti Pengguna Diesel Bawah 300 Liter
Mengulas lanjut, Amir Hamzah menjelaskan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa lebih 80 peratus pengguna diesel sebenarnya menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, dengan purata penggunaan sekitar 140 liter sahaja.
Walau bagaimanapun, mengambil kira keperluan penggunaan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan lori pikap yang lazimnya digunakan oleh peniaga kecil serta pengangkutan di kawasan luar bandar, kerajaan telah memperkenalkan kelayakan tambahan sebanyak 100 liter di bawah Budi Madani Diesel, tertakluk kepada permohonan.
“Berdasarkan data DOSM, sebanyak 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Dengan ini, jumlah kelayakan bulanan sebanyak 300 liter adalah mencukupi untuk majoriti rakyat,” tambah beliau.
MyKad Berjaya Tutup Ketirisan Dana Awam
Amir Hamzah menegaskan penggunaan MyKad dalam mekanisme pengagihan subsidi telah banyak membantu menutup lompang ketirisan yang sebelum ini mengalirkan keluar dana awam serta menjejaskan bekalan bahan api ketika tempoh krisis.
Pelaksanaan sistem Budi Diesel yang bersandarkan pengesahan MyKad ini dijangka mampu mengurangkan ketirisan bahan api sehingga satu bilion liter setiap tahun. Isu ketirisan subsidi ini dikesan lebih berleluasa dalam segmen diesel berikutan ketiadaan mekanisme pengesahan yang ketat seperti yang dilaksanakan untuk petrol RON95 sebelum ini.
Subsidi Diesel Kongsi Kuota 200 Liter
Sistem subsidi diesel baharu ini berkongsi had kuota 200 liter yang sama dengan skim Budi Madani RON95. Pengguna yang layak boleh mengemukakan permohonan untuk menambah kuota bulanan sebanyak 100 liter lagi menerusi portal dalam talian yang disediakan atau hadir terus ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dasar baharu yang dijadualkan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Julai ini bertujuan bagi memastikan sokongan dan bantuan subsidi kerajaan disasarkan secara tepat kepada pengguna diesel yang sah dalam kalangan warganegara Malaysia.