Selain memperkenalkan produk Pak Mat Western baharu iaitu kedai kopi pertamanya, restoran terkenal ini ada membuat kejutan dengan video promosi yang dibintangi oleh ahli politik iaitu Khairy Jamuluddin pada bulan lalu.

Nampaknya Pak Mat Western berjaya mencuri perhatian ramai lagi pada hari  ini apabila produk mereka telah menerima review oleh seorang negarawan, Tun Mahathir. Perkara ini dikongsikan menerusi satu video klip video berdurasi 1.27 minit yang dimuat naik di akaun X mereka.

Baca Juga:

Di dalam video tersebut, Tun M dilihat memberi maklum balas terhadap produk kambing perap keluaran Pak Mat Western yang juga merupakan syarikat anak tempatan. Secara keseluruhannya, Tun M sangat berpuas hati dengan kambing perap yang dihidangkan kepada beliau.

“Lebih daripada OK”, jawab beliau kepada wakil Pak Mat Western apabila ditanya pandangan tentang produk kambing perap itu.

Sos dipuji kerana menepati citarasa Asia

Bahkan, beliau turut memuji sos yang dihidangkan adalah sedap di samping bertepatan dengan selera orang Asia. Bagi beliau, tiada gunanya mempunyai daging yang lembut jika kalau tidak dilengkapi dengan sos yang sedap.

Tun M menjelaskan persiapan sajian di kedai “western” juga tidak seperti yang diharapkan kerana sos dan daging yang dihidangkan tidak memiliki sebarang rasa atau bahasa mudahnya adalah rasa kosong.

Sudi nikmati sos dengan roti sahaja

Malah, beliau sendiri sedia menikmati sos yang sedap itu bersama roti sahaja. Sementara daging juga perlu lembut sekaligus menjadikan ia satu kombinasi yang sempurna untuk dinikmati.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada syarikat Pak Mat Western kerana sanggup masuk dalam bidang ini dan menghadapi cabaran dalam mengembangkan bisnes.

Hal ini kerana Pak Mat Western boleh melakukan kebajikan dan menolong masyarakat menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada 10,000 individu. Bukan itu sahaja, beliau juga mengatakan kita dituntut untuk bersedekah apabila dikurniakan rezeki yang luas.

Oleh itu, beliau mengingatkan bahawa apabila berbisnes selain memikirkan keuntungan peribadi, kita perlu memberi manfaat kepada orang lain juga.

Menerusi ruangan komen pula, ramai pengguna maya yang menunjukkan reaksi keterujaan dengan kemunculan Tun M di dalam video terbaharu itu. Bahkan, majoriti pengguna memuji kehebatan pasukan marketing syarikat itu yang kreatif dalam mempromosikan jenama mereka.

“Marketing memang A++++ Pak Mat Western ni!”, ujar seorang pengguna di ciapan tersebut.

“Kalau bab marketing Pak Mat Western memang terbaik… Siapa yang handle patut dapat kenaikan gaji…”, kata seorang pengguna lain yang turut mencadangkan kenaikan gaji pengendali pemasaran kerana marketing yang sentiasa mantap.

“Admin buatkan iklan dengan bapak2x pleaseee. Nak tengok Tok Ram promote Pak Mat Western”, kata seorang pengguna X yang mencadangkan calon untuk marketing seterusnya.

Berdasarkan pengalaman kami sendiri, produk kambing perap Pak Mat Western memang layak dipuji kerana sosnya memang terbukti sedap ditambah dengan kombinasi daging yang lembut. Ini membuatkan ia satu hidangan yang sempurna untuk dinikmati bersama keluarga atau kenalan rapat.