Saingan Liga A1 Semi Pro semakin tenat selepas pemilik kepada beberapa kelab yang bertanding dalam saingan musim ini menghilangkan diri sekaligus lari dari tanggungjawab untuk menguruskan pasukan.
Menurut laporan Harian Metro, sekurang-kurangnya enam pemilik kelab Liga A1 Semi Pro telah menghilangkan diri atau gagal dihubungi menyebabkan pemain dan pegawai pasukan seolah-olah terumbang-ambing tanpa hala tuju selain gaji mereka juga tidak dibayar.
Baca Juga:
- Bunga Raya Damansara Kelab Pertama Liga A1 Dapat Tajaan Jenama Antarabangsa
- Bunga Raya Damansara Tagih Khidmat Bekas Pemain Skuad Kebangsaan Hadapi Liga A1
- MFL: Dakwaan Perak FC Adalah Tidak Benar
“Masalah menyelubungi pasukan, semuanya lari membiarkan jurulatih dan pemain terkontang kanting hingga terpaksa mengharungi liga menggunakan dana sendiri.
“Kebanyakan enam pemilik pasukan itu sememangnya tidak dapat dihubungi selain wakil mereka enggan menemui jurulatih atau pemain bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji,” kata seorang sumber.
Situasi Liga Super turut berada dalam keadaan membimbangkan apabila terdapat enam pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji. Masalah tunggakan gaji bukanlah perkara baharu di dalam Liga Malaysia. Namun situasi ini kini dianggap semakin membarah.
Menurut laporan, tiga daripadanya boleh dianggap sebagai pasukan gergasi juga diibaratkan sedang menunggu rebah kerana masalah tunggakan gaji kerana masih gagal melangsaikan hutang gaji pemain mencecah empat bulan.
Sebuah pasukan digambarkan sebagai sangat gah di luaran. Hakikatnya, mereka juga ada masalah tunggakan gaji yang kritikal.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah.
Dia juga simpati dengan pasukan pasukan ini kerana kerajaan negeri sudah tidak mahu lagi membantu mereka menyelesaikan tunggakan gaji.
“Jika pasukan itu beraksi tanpa membayar gaji pemain mungkin pasukan Liga Super itu boleh bertahan hingga penghujung liga. Namun, kasihan pemain kerana mereka terpaksa beraksi demi gaji dan juga mahu menyara keluarga.
“Apa yang boleh dilakukan adalah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lakukan penilaian semula membabitkan keupayaan kelab untuk beraksi.
“Paling penting adalah melihat mengapa Kerajaan Negeri tidak mahu lagi membantu pasukan Liga Super yang mengalami tunggakan gaji ini,” katanya.