Salah seorang pemain import yang beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro mendakwa beliau tidak menerima sebarang gaji sejak menyertai pasukan pada awal musim ini.
Menurut pendedahan yang dikongsikan oleh World Of Buzz, pemain yang dimaksudkan ialah Adam Azeez Arisekola yang berasal dari Nigeria dimana beliau beraksi bersama pasukan Putrajaya Athletic.

Baca Juga:
- Isu Gaji Tertunggak Semakin Membimbangkan, Fauzan Dzulkifli Seru Pemain Bola Sepak Cari Kerja Lain
- FAM Gantung Perlis FA
- Insiden Libatkan Theerathon Dan Arif Aiman Tarik Perhatian Media Antarabangsa
Azeez yang ditemani oleh ejennya iaitu Abdulrahaman Abdulsalam mendedahkan beliau tidak dibayar gaji oleh majikan sejak bulan Mei tahun ini.
Abdulrahaman menegaskan beliau membelanjakan wangnya sendiri untuk menyokong pemain di bawah jagaannya selepas Putrajaya gagal untuk membayar elaun pengangkutan sebanyak RM1000 dan sewa rumah sebanyak RM1500.
Azeez juga tidak dapat menghantar wang kepada keluarganya di Nigeria kerana tidak mendapat sebarang gaji sejak beraksi di Malaysia.
“Orang ramai boleh datang dan menonton perlawanan, dan mengatakan bahawa penyerang (Adam Azeez), sangat lemah. Tetapi, adakah mereka tahu sama ada dia telah makan apa-apa sebelum atau selepas permainan? Apa yang dia akan makan selepas permainan? Di mana dia akan tidur selepas perlawanan?” tanya Abdulrahaman.
Selepas beberapa desakan daripada Abdulrahaman dalam surat rasmi yang dihantar pada 30 September (Isnin) dan dakwaan laporan kepada FIFA, Ketua Pegawai Eksekutif pasukan itu, Arzawiyah Ab Rahmah, menghantar perjanjian bertulis kepada Abdulrahaman yang menyatakan bahawa gaji tertunda akan dibayar pada 15 November (Jumaat).
“Merujuk kepada surat anda pada tarikh 30 September 2024, surat ini berfungsi sebagai pemberitahuan rasmi mengenai bayaran tertunggak yuran ejen dan gaji pemain. Mengikut perjanjian kami, pembayaran ini dijadualkan untuk pengeluaran pada 15 November 2024,” kata perjanjian itu.
Malangnya, Abdulrahaman memberitahu bahawa janji ini didakwa juga tidak ditunaikan oleh pihak pengurusan pasukan.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak yang lain (pemain), tetapi pemain saya sememangnya tidak dijaga.
“Tahun ini adalah yang paling teruk pernah saya lihat, sepanjang 21 tahun saya di Malaysia,” tambahnya lagi mengenai kelewatan pembayaran gaji yang dialami pemain bola sepak di dalam saingan Liga Malaysia yang semakin hari semakin parah.