Kejutan berlaku pada saingan Liga Super hari ini apabila naib juara musim lepas, Selangor tewas tipis 0-1 kepada Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium KLFA, Cheras.

Ini adalah kekalahan kedua skuad kendalian Nizam Jamil itu namun ia tidak menjejaskan kedudukan mereka di tangga kedua Liga Super selepas mengutip 9 mata dalam 5 perlawanan yang diharungi.

Baca Juga:

Separuh masa pertama menyaksikan perlawanan berakhir dengan kedudukan 0-0 kerana kedua-dua bermain dengan berhati-hati untuk mengelak sebarang kesilapan mudah.

Isu tunggakan gaji seakan tidak mengganggu pemain KL City apabila kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan Selangor ketika memasuki separuh masa kedua.

Pemain import KL City, Jovan Motika menghukum kelekaan barisan pertahanan Selangor selepas merembat masuk gol pembukaan pada minit ke 63.

Malah, jaringan itu sudah cukup untuk memberi tiga mata berharga buat KL City selepas Selangor gagal memecahkan kebuntuan jaringan hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu membolehkan KL City mendaki ke tangga keempat liga dengan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan tewas sekali.

Malang buat Selangor kerana selain rekod kemenangan bersih mereka dalam tiga aksi terakhir liga lebur, skuad kendalian Nidzam Jamil itu kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).