Selangor FC (SFC) dinobatkan sebagai naib juara Liga Super musim ini selepas menewaskan pencabar terdekat, Kedah Darul Aman (KDA) 1-0 di Stadium Darul Aman hari ini.

Sejak dari sepak mula, kedua-dua pasukan saling menyerang namun buntu mencari jaringan pertama.

Baca Juga:

Kedah nyaris menjaringkan gol pembukaan namun percubaan Ifedayo Olusegun dan Manuel Ott berjaya dinafikan oleh penjaga gol Selangor, Sam Somerville. Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Selangor bangkit lebih garang dan kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan tuan rumah.

Usaha pelawat mengandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang import, Ayron Del Valle menyudahkan hantaran leret Brendan Gan dari sebelah kanan pada minit ke 65.

Jaringan itu menceriakan ratusan penyokong Selangor yang hadir ke Alor Star dan turut melenyapkan sorakan penyokong tuan rumah di setiap penjuru stadium.

Tersentak dengan gol pembukaan itu, Kedah bangkit menyusun gerakan dan nyaris menjaringkan gol penyamaan menerusi dua percubaan Hidalgo yang ditepis oleh penjaga gawang Selangor, Sam Somerville.

Biarpun pengadil memberikan masa tambahan selama 5 minit, namun Kedah masih buntu mencari gol penyamaan  dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Hasil kemenangan tersebut, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu kekal di tangga kedua dengan 58 mata sekaligus mendapat slot ke pertandingan peringkat Asia iaitu AFC Champions League 2 (ACL 2) pada musim depan.

Mereka akan mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah mengesahkan kejuaraan Liga Super lebih awal buat kali kesepuluh berturut-turut.