Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi berkeras mahu kembali ke kelab lamanya, Kedah Darul Aman (KDA FC) bagi membantu pasukan tersebut.
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu dibelasah pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) 6-0 sekaligus menarik perhatian Liridon yang sempat meninggalkan beberapa pesanan di ruang komen laman instagram rasmi KDA FC.
Baca Juga:
“Saya mahu membantu.
“Saya sudah kata, telefon sahaja.
“Mari bersama jadikannya sebagai satu kenyataan,” tulisnya di ruang komen.
Sebelum ini, Liridon atau dikenali sebagai Mat Don mendedahkan pernah berhubung dengan Nafuzi mengenai minatnya menyertai Kedah.
Beliau berpeluang kembali ke pasukan itu apabila jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka pada 26 Ogos ini.
“Sebelum saingan musim ini bermula, saya ada berkomunikasi dengan ketua jurulatih, Nafuzi Zain. Saya beritahu jurulatih yang saya berminat untuk beraksi di bawah bimbingannya. Dia juga memberitahu bahawa gemar dengan apa yang saya ada dan mahu saya berada dalam pasukan.
“Akan tetapi, atas sebab beberapa perkara, saya tidak dapat menyertai pasukan Kedah. Tetapi saya sentiasa bersedia untuk kembali pulang dan membantu pasukan tidak kira apa jua keadaan. Cinta saya terhadap Kedah sama seperti cinta saya kepada keluarga saya.
“Saya memberitahu perkara ini kerana mendapat banyak soalan berkenaan peluang kembali bersama Kedah. Saya ada menerima tawaran dalam beberapa bulan terakhir, dan saya mahu semua pihak tau mengenainya. Semua atas dasar cinta, selamanya Hijau Kuning,” tulis pemain itu.
Musim lepas, beliau beraksi bersama Terengganu FC (TFC) secara pinjaman dari JDT sehingga 30 November 2023. TFC merupakan kelab keempat Liga Malaysia yang disertainya selain JDT, Kedah dan Melaka United.