Pemain sayap, Luiz Diaz sedang menikmati musim yang cukup memberangsangkan bersama Bayern Munich.

Dalam 33 penampilan di semua pertandingan, Diaz telah memberikan sumbangan cukup bermakna dengan menyumbat 19 gol serta mencipta 15 bantuan jaringan.

Pada 8 Februari lalu, Diaz berjaya meledakkan hatrik ketika Bayern Munich membelasah TSG 1899 Hoffenheim 5-1.

Namun di sebalik musim cemerlang itu, beliau berdepan kesukaran dengan satu klausa yang terkandung dalam kontraknya.

Klausa Kontrak Ketat

Kelab gergasi Jerman itu menguatkuasakan standard yang ketat terhadap para pemainnya, khususnya pemain import dan satu klausa khusus berpotensi menimbulkan masalah buat Luis Díaz.

Menurut sumber laporan Bein Sports, kontrak pemain sayap Colombia itu mengandungi satu ‘klausa bahasa’ yang mewajibkan pemain antarabangsa menghadiri kelas bahasa Jerman secara berkala.

Ia bukan sekadar cadangan sebaliknya merupakan satu tanggungjawab rasmi yang termaktub secara jelas dalam perjanjian tersebut.

Pemain dari luar negara diwajibkan menghadiri dua hingga tiga sesi kelas bahasa setiap minggu dan menunjukkan perkembangan yang boleh diukur menerusi penilaian dalaman.

Kegagalan untuk mematuhi atau menunjukkan peningkatan boleh mencetuskan penalti kewangan.

Rasional kelab itu cukup jelas, bagi memastikan integrasi penuh dalam bilik persalinan serta budaya kelab.

Namun, ruang toleransi dilihat agak terhad apabila melibatkan pematuhan terhadap tuntutan akademik tersebut.

Luis Díaz sendiri mengakui bahawa halangan bahasa merupakan cabaran terbesarnya sejak tiba di Jerman.

Beliau mengakui proses mempelajari bahasa Jerman bukan sesuatu yang mudah dan masih lagi dalam fasa penyesuaian.

“Perkara paling sukar dahulu, dan masih lagi sekarang, adalah bahasa,” kata Luis Diaz sambil menambah bahawa beliau cuba membalas kepercayaan kelab melalui prestasinya di atas padang.

Namun begitu, penyesuaian dari sudut linguistik ternyata bukan sesuatu yang datang dengan mudah.

Ini Hukuman Bakal Menanti Luis Diaz Jika Gagal

Sekiranya Diaz gagal menunjukkan peningkatan mencukupi dalam penilaian separuh tahunan kelab  yang dibuat berdasarkan Kerangka Rujukan Umum Eropah bagi Bahasa (CEFR), denda yang dilaporkan boleh mencecah antara €5,000 hingga €50,000.

Di sebalik bonus prestasi bernilai €250,000 yang dikaitkan dengan kejayaan muncul penjaring terbanyak dalam saingan Bundesliga atau UEFA Champions League, klausa ini menegaskan bahawa di Bayern Munich, kejayaan tidak diukur berdasarkan jaringan gol semata-mata.

Sebelum ini Harry Kane turut mengakui bahawa mempelajari bahasa Jerman adalah cukup sukar baginya.

 

Sumber