Malang terus menimpa Perak FC Sdn Bhd selepas Mahkamah Perusahaan mengarahkan kelan tersebut membayar pampasan sebanyak RM1.04 juta kepada bekas ketua jurulatih, Lim Teong Kim atas pemecatan tidak adil.
Menurut sumber laporan Free Malaysia Today, Pengerusi mahkamah, D Paramalingam berkata jumlah tersebut dikira berdasarkan baki 16 bulan kontrak tetap dua tahun Lim yang ditamatkan lebih awal pada 24 Mei 2023, hanya lapan bulan selepas beliau memulakan tugas.
Baca Juga:
- Luciano Guaycochea Kecewa Dengan Pengurusan Perak FC, Tuntut Bayaran Tunggakan Gaji

- Sokongan Swasta & Awam Tak Hadir, Langganan TBG Tersasar – Pengerusi Dedah Punca Perak FC ‘Gugur’

- ‘Perak FC Bila Nak Bayar Baki Gaji, Nak Beli Susu Dan Pampers Anak’
Lim Teong Kim ‘Menang Besar’
Sebagai penuntut, Lim akan menerima RM1,040,000 berdasarkan gaji bulanan yang dipersetujui iaitu RM65,000.
“Tidak boleh ada pemulihan jawatan dalam keadaan ini kerana kontrak tersebut telah tamat mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” ujar beliau.
Paramalingam menyatakan bahawa keputusan Perak FC untuk menamatkan kontrak Lim di pertengahan musim atas alasan prestasi pasukan yang lemah adalah terlalu awal, tidak wajar dan didorong oleh kepentingan komersial.
Beliau turut mendapati bahawa kewangan syarikat sudah pun terjejas oleh ‘kemerosotan prestasi’ Perak FC sebelum Lim dilantik.
“Apabila syarikat melantik Lim, mereka sedar bahawa ia adalah tugas yang panjang dan mencabar untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Perak.”
“Mereka memecatnya sebelum beliau sempat menunjukkan hasil sebenar,” katanya lagi.
Paramalingam turut menyatakan pengurusan kelab telah ‘mencari kesalahan’ terhadap usaha Lim dalam menerapkan disiplin kepada pemain-pemainnya.
Beliau juga memutuskan bahawa dakwaan salah laku terhadap Lim tidak cukup serius untuk menjadi alasan penamatan kontrak.
“Satu amaran akhir telah diberikan dan Lim diarahkan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada media sambil menyatakan bahawa Lim telah mematuhi arahan tersebut.”
“Namun, syarikat telah mengungkit semula isu-isu yang sama sebagai alasan untuk penamatan.”
Ini walaupun dalam surat penamatan hanya menyatakan prestasi pasukan yang tidak memuaskan sebagai sebab pemecatan.
“Ini adalah dua perkara yang berbeza dan berasingan daripada dakwaan terdahulu yang mengatakan Lim telah berkelakuan tidak wajar di hadapan media dan penyokong.”
Paramalingam menyatakan tindakan syarikat mengungkit semula dakwaan salah laku itu adalah satu bentuk hukuman berganda.
“Tindakan syarikat mengenakan hukuman berganda sepatutnya dibatalkan kerana tidak adil dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Paramalingam turut menyatakan bahawa syarikat telah membuat tuntutan yang tidak realistik terhadap Lim walaupun memperuntukkan bajet yang terhad untuk fasa pembangunan semula pasukan.
Ketegangan memuncak apabila beberapa ahli pengurusan pasukan didapati merancang satu ‘pemberontakan pemain’ dengan secara rahsia mengumpulkan aduan terhadap Lim Teong Kim di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 11 April 2023.
“Beberapa ahli pengurusan telah mendapatkan senarai aduan daripada para pemain dengan niat untuk mendapatkan maklum balas negatif terhadap Lim.”
Menurut keputusan itu, sambil menambah bahawa tindakan ini bertujuan untuk menyingkirkan Lim daripada Perak FC.
“Itulah yang dilakukan oleh syarikat apabila mereka tidak lagi dapat mencari kesalahan terhadap Lim selepas beliau mematuhi amaran akhir yang diberikan,” katanya.
Lim Teong Kim diwakili oleh peguam Edward Andrew Saw dan Jerry Low manakala Perak FC diwakili oleh Weera Premananda.