Pasukan Selangor FC terpaksa menerima hakikat bahawa aksi Piala FA menentang Sabah pada 9 September 2026 akan berlangsung tanpa kehadiran penyokong, atau stadiun kosong.
Ini selepas Mahkamah Timbang Tara atau Emergency Sole Arbitrator semalam, 7 September 2026, menolak permohonan Selangor FC untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut.
Perkara itu diumumkan oleh FAM menerusi laman rasmi mereka. Menurut laporan itu, permohonan telah difailkan bagi menangguhkan hukuman bermain di stadium tanpa kehadiran penyokong yang dikenakan susulan insiden melibatkan kelakuan penyokong serta penganjuran perlawanan.
Hukuman berkenaan pada asalnya dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 15 November 2025 sebelum dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FAM pada 26 November 2025.
Permohonan kecemasan tersebut dibuat di bawah Rule 23 AIAC Rules 2026 dan telah didengar pada jam 5 petang, 7 September.
Dengan keputusan itu, hukuman beraksi tanpa penyokong bagi perlawanan Piala FA 2026/2027 menentang Sabah di gelanggang sendiri kekal berkuat kuasa.
Bagaimanapun, perjuangan Selangor FC dalam kes ini masih belum berakhir.
Proses pendengaran penuh berhubung rayuan mereka terhadap hukuman tersebut masih terbuka dan akan diteruskan mengikut proses timbang tara yang ditetapkan.
Buat masa ini, yang pasti, Selangor perlu turun menentang Sabah pada 9 September dalam suasana stadium tanpa penyokong.