Legenda Chelsea, Claude Makelele mendedahkan bahawa Moises Caicedo perlu memperbaiki satu aspek untuk menjadikannya sebagai pemain tengah terbaik di dunia

Aspek yang dimaksudkan oleh Makelele ialah pemain kelahiran Ecuador itu perlu memperbaiki kemahiran kepimpinannya untuk meraih gelaran tersebut.

Baca Juga:

Makelele yang beraksi bersama Chelsea selama lima musim itu memuji kemampuan hebat dijelmakan Caicedo tetapi menegaskan bahawa konsistensi dan rasa tanggungjawab adalah perkara paling penting di Stamford Bridge.

Caicedo menyertai The Blues pada 15 Ogos 2023 dengan nilai £115 juta yang sekali gus menjadikannya sebagai perpindahan termahal British ketika itu.

Beliau dinilai sebagai seorang pemain yang memiliki hantaran yang boleh dipercayai dan sering memenangi perebutan bola di bahagian tengah sebagai pemain tengah bertahan.

Nasihat Makelele Buat Caicedo

“Dia boleh menjadi yang terbaik tetapi ada ramai, sangat ramai pemain tengah yang bagus. Dia masih muda dan saya sangat menyukainya.”

“Adakah dia kelihatan seperti saya? Ya!,” ujar Makelele menurut sumber laporan Chelsea FC Online.

“Tetapi dia bukan saya, dia berbeza dan boleh berkembang kerana dia mempunyai banyak bakat, ruang serta masa di pihaknya.”

“Pada awalnya, situasinya sama dengan N’Golo Kante dan saya juga pernah berbicara dengannya tentang kepimpinan.”

“Kepimpinan bermaksud menunjukkan bahawa anda adalah pemain terbaik di Chelsea. Anda ialah individu yang apabila tidak berada di atas padang, pasukan akan bergelut. Ia membuatkan anda memahami tanggungjawab serta kepentingan untuk menjadi teladan di pusat latihan.”

“Dia perlu memulakan setiap perlawanan dengan kuat dan membantu pasukan memenangi perlawanan.”

“Walaupun kalah, dia harus menjadikan pasukan lebih kuat dan memastikan kemenangan pada perlawanan seterusnya. Apabila dia berjaya melepasi tahap itu, barulah kita boleh mula bercakap tentangnya sebagai pemain tengah terbaik di dunia,” tambah Makelele lagi.