Keputusan seri 3-3 bertemu Iran pada aksi terakhir menyaksikan Malaysia berjaya melayakkan diri ke pentas final Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024.

Kejayaan manis dilakarkan itu sekali gus membawa Malaysia ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan yang julung kali bakal berlangsung di Porec, Croatia pada 3 hingga 9 Februari 2025.

Baca Juga:

Malaysia yang merupakan juara bertahan Piala Asia mempamerkan kebangkitan hebat dimana mereka ketinggalan 0-3 hasil jaringan Mahdi Shahrokhi pada minit ke-10 dan Amirmahdi Mirzakhani (minit ke-16) manakala Shahrokhi menambah gol kedua peribadinya ketika aksi memasuki minit ke-27.

Tersentak dengan tiga jaringan tersebut, anak buah Mohd Rodzhanizam Mat Radzi itu tampil lebih bertenaga dan usaha mereka membuahkan hasil hingga berjaya mengikat kedudukan.

Abdul Khaliq Hamirin menghasilkan dua jaringan padang pada minit ke-21 dan berselang sembilan minit kemudian manakala Muhammad Aminuddin Mohd Zain meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-28.

Keputusan seri itu sudah cukup buat Malaysia untuk sekali lagi menempah pertemuan final menentang Iran, lawan sama dihadapi ketika edisi 2022 di Bangkok yang ketika itu skuad negara muncul juara menerusi penentuan pukulan penalti shoot-out 3-2 selepas aksi terikat 4-4.

Dalam perkembangan sama, Rodzhanizam jelas memuji disiplin tinggi serta semangat juang kental ditampilkan anak buahnya.

“Satu permainan dengan semangat juang yang cukup tinggi ditunjukkan oleh setiap pemain. Setiap pemain memberikan sehabis baik dan kebangkitan yang ditunjukkan mereka semestinya perlu dipuji.”

“Pemain turun hari ini dengan satu semangat luar biasa iaitu ingin mengapai satu keputusan yang terbaik demi Malaysia.”

“Melangkah ke Piala Dunia untuk kali pertama merupakan detik yang paling ditunggukan dan ini yang diperjuangkan oleh pasukan selama ini.”

“Pasukan berharap kami mendapat perhatian dan peruntukan yang secukupnya bagi kami mempersiapkan pasukan dengans sebaik mungkin agar dapat memberikan tentangan yang hebat di Piala Dunia 2025 nanti.”

“Bertemu Iran sekali lagi di pentas final esok (petang ini), kami akan melakukan semua persediaan yang diperlukan dengan sebaik mungkin dan pasukan berharap pemain dapat menutup episod Piala Asia 2024 dengan satu noktah yang cukup manis.”

“Terima kasih kepada penyokong dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong pasukan Hoki Dalam Dewan Malaysia dan terus mempercayai kami,” tambah beliau lagi.