Cerita mahal tentang Facebook, kisah Mark Zuckerberg dan seorang wanita lain (bukan isterinya).
Pertamanya, saya dengan rendah diri ingin mengucapkan bilion terima kasih kepada 2000 orang lebih yang like, komen dan share pada status mengenai siapakah orang yang bertangungjawab membangunkan Facebook di sebalik Mark Zuckerberg.
Cerita ini adalah seperti apa yang diceritakan oleh seseorang yang berada di dalam Silicon Valley itu sendiri. (Cari di Google apa itu Silicon Valley).
Mark faham bahawa untuk mengembangkan perniagaan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, dia perlu segera mencari orang yang faham misi dan visi perjuangannya. Orang itu juga harus faham tentang posisi dan tangungjawab di samping mendapat kepercayaan Mark sendiri.
Mark menghabiskan masa lebih 100 jam untuk mengenali wanita ini!
Pernah Tuan dengar tentang seorang wanita yang bernama Sheryl Sandberg? Pada hari ini, beliau adalah Chief Operating Officer (COO) di Facebook. Beliaulah orang yang saya maksudkan sejak awal cerita tadi. Sheryl berumur 47 tahun pada tahun ini.
Sheryl Sandberg juga lulusan dari Harvard University, sebelum menerima pinangan Mark untuk masuk menyertai Facebook. Sheryl adalah orang penting di sebalik Google. Wanita ini telah buktikan bahawa beliau sangat memahami bisnes model secara atas talian dan mempunyai banyak idea untuk mengembangkan perniagaan.
Mark diperkenalkan kepada Sheryl di Silicon Valley dan beliau mengambil masa lebih 100 jam untuk berjumpa Sheryl beberapa kali (sesi ngeteh) untuk saling mengenali dan saling memahami.
Mark percaya bukan mudah untuk menemui orang yang faham hasrat dan tujuannya membangunkan Facebook. Dia juga percaya bukan senang untuk mendapatkan orang kepercayaan yang ‘satu kepala’. Kerana Mark yakin beliau sangat cenderung untuk menjadikan Facebook sebagai platform telekomunikasi dan sosial cara baru.
Pada tahun 2008, Sheryl menerima tawaran Mark untuk masuk menyertai Facebook. Sheryl tidak menoleh ke belakang lagi, mereka saling membangunkan Facebook atas dasar saling mempercayai satu sama lain. Mark memberikan kuasa penuh kepada Sheryl untuk membangunkan operasi dan seluruh rancangan perniagaan Facebook.
Sheryl turut memantau bahagian Sumber Manusia, Pembangunan Perniagaan, Pengurusan Jualan, Polisi Piagam Pelanggan dan Komunikasi Korporat. Mark menghargai segala idea, usaha keras dan perjuangan masa Sheryl dengan ‘reward’ yang cukup setimpal. Pada tahun 2014, beliau pernah disenaraikan sebagai wanita yang bakal menjadi billionaire. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah wanita yang pertama di dalam Facebook Inc.
Pengajaran Kisah Mark Zuckerberg – Sheryl Sandberg
Apakah Tuan belajar sesuatu daripada cerita ini? Mark tidak memberi kepercayaan dan membangun pasukan mantap di saat sudah berkembang. Tetapi Mark memberi kepercayaan kepada Sheryl di saat Facebook masih lagi dalam fasa Start-Up.
Susah payah mereka bersama sejak waktu itu sudahpun membuahkan hasil sekarang. Kerana Mark dan Sheryl ini jugalah, tuan dan saya masih membuka Facebook setiap hari untuk berkongsi cerita, memberi inspirasi dan menjadikan ia sebagai satu platform yang boleh memberi manfaat.
Facebook memulakan langkah pertama pada tahun 2004, Sheryl dibawa masuk pada tahun 2008. Sheryl jugalah orang yang bertanggungjawab membawa masuk banyak wang kepada Facebook melalui Facebook Ads. Sheryl benar-benar faham potensi Facebook dan bijak merancang untuk mengembangkannya.
Pada tahun 2015, net worth Facebook dianggarkan bernilai $245 bilion Dolar Amerika. Jumlah ini telah mengatasi net worth Walmart dengan lebihan sebanyak $10 bilion. Nilai saham Facebook meningkat naik pada tahun 2012 sehingga ke hari ini.
Nota kaki. Perbezaan paling menarik Mark dan Sheryl.
Mark selalu berfikir bagaimana mahu menjadikan pengalaman menggunakan Facebook lebih menarik kepada semua pengguna di seluruh dunia yang kini berjumlah hampir 1.55 bilion pengguna aktif sehari.
Sheryl pula selalu nampak bagaimana boleh buat lebih banyak wang dengan menggunakan data dan potensi Facebook yang semakin berkembang.
Penutup
Terima kasih kerana sabar menunggu 1999 likes untuk membaca kisah ini. Didoakan agar ia terus memberi manfaat dan kebaikan buat semua yang baca dan bijak mengambil hikmahnya.
Jangan lupa untuk like, komen dan share. Tag rakan kongsi dan orang yang paling anda percaya dalam bisnes untuk berkongsi kisah ini dengan mereka.
Salam Sayang.
Ikram Al-Banjari,
Saya Saudagar Jalanan.
BACA: Mark Zuckerberg Sudah Jadi Ayah, Ikrar Derma 99% Saham Facebook