Ruben Amomrim mengejutkan semua pihak apabila secara terbuka mengkritik hierarki tertinggi kelab itu.

Pengendali berusia 40 tahun itu dilaporkan mempunyai hubungan yang semakin renggang dengan Pengarah Bola Sepak Manchester United, Jason Wilcox – satu isu besar yang dilihat boleh menjejaskan kedudukannya dalam jangka panjang.

Amorim malah mengingatkan Man United bahawa dia datang ke kelab itu untuk menjadi pengurus bukannya sekadar menjadi ketua jurulatih.

Dalam konteks bola sepak Inggeris, pengurus adalah jawatan yang lebih besar berbanding sekadar jurulatih. Di mana seorang pengurus itu adalah jurulatih yang turut mengawal skuadnya secara penuh termasuk dalam isu kawangan dana melibatkan jual beli pemain.

Hubungan Retak Dengan Pengurusan

Sumber dalaman kelab mendedahkan wujud ketegangan antara Amorim dan Wilcox, terutamanya berkaitan soal kuasa dan hala tuju pasukan.

Amorim dikatakan tidak berpuas hati apabila diminta untuk lebih fleksibel dari segi taktikal, sedangkan beliau tetap berpegang kepada sistem kegemarannya, 3-4-2-1.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Amorim merasakan janji pihak pengurusan untuk membenarkannya membentuk skuad sendiri tidak ditepati, terutamanya dalam jendela perpindahan Januari yang kini dirancang secara ‘senyap-senyap’.

Sekiranya berlaku perebutan kuasa, Ketua Pegawai Eksekutif Omar Berrada difahamkan lebih cenderung menyokong Jason Wilcox berbanding Amorim.

Isu Perpindahan & Perbezaan Visi

Selain itu, Amorim merasakan wang besar yang hampir dibelanjakan untuk Antoine Semenyo sepatutnya digunakan untuk memperkukuh bahagian lain pasukan.

Situasi ini menambah lagi tanda tanya apabila pihak kelab enggan melabur besar, mungkin kerana masih ragu-ragu dengan hala tuju Amorim.

Amorim seringkali diberitahu bahawa kelab perlu mengawal perbelanjaan untuk membeli pemain. Namun tiba tiba kelab akan mencadangkan dia pemain yang mereka rasa sesuai untuk United.

Amorim juga dilaporkan tidak bersetuju dengan beberapa keputusan perpindahan sebelum ini.

Beliau lebih gemar mendapatkan penyerang yang sudah terbukti di Liga Perdana Inggeris seperti Ollie Watkins, berbanding Benjamin Sesko yang masih bergelut menyesuaikan diri.

Amorim Meletus Dalam Sidang Media Menggemparkan

Dalam sidang media selepas perlawanan seri 1-1 menentang Leeds, Amorim mengejutkan ramai apabila berkata:

“Dengar sini anda semua, kadangkala kamu menulis cerita yang agak selektif [ikut tekak kamu].

“Saya datang ke sini untuk menjadi pengurus Manchester United, bukan sekadar ketua jurulatih,” tegas Amorim.

“Saya tahu nama saya bukan Tuchel, bukan Conte, bukan Mourinho, namun saya adalah pengurus Manchester United.

Beliau turut memberi bayangan bahawa tempohnya di kelab mungkin terhad sehingga kontraknya tamat pada musim panas 2027.

“Ia akan jadi seperti ini selama 18 bulan atau sehingga lembaga pengarah membuat keputusan untuk berubah.

“Namun saya tidak akan berhenti. Saya akan buat kerja saya sehingga orang lain datang menggantikan saya.”

Dia kemudian mengingatkan sekali lagi: “Saya tiba di sini untuk menjadi pengurus, bukannya sekadar jurulatih, itulah perjanjiannya. Itu adalah tugas saya.”

Amorim menyatakan bahawa dia tidak kisah dengan kritikan ke atasnya, kerana dia sudah menjangkannya, sebelum tiba di United.

Amorim menambah: “Jika kamu tidak dapat mengendalikan [kritikan] Gary Neville, dan kritikan, atau semua itu, kami [pasukan kejurulatihan] harus tukar sahaja kelab.

“Saya mahu tegaskan di sini, saya datang ke sini sebagai pengurus Manchester United bukannya jurulatih. Setiap jabatan termasuk, jabatan pemantau bakat, pengarah sukan, mereka harus buat kerja mereka. Begitu juga dengan saya dalam 18 bulan ini, dan kita akan ‘move on’ selepas itu.”

Apakah Respon Kelab Selepas Ini?

Walaupun pemilik minoriti Sir Jim Ratcliffe secara terbuka menyatakan Amorim patut diberi tempoh penuh kontraknya selama tiga tahun, laporan mendakwa masih wujud keraguan dalam bilik lembaga Old Trafford.

Dengan isu kuasa, perbezaan visi, dan keputusan taktikal yang kaku, persoalannya kini: Adakah Ruben Amorim benar-benar masa depan Manchester United, atau sekadar satu lagi projek yang tidak kesampaian?

Komen Peminat

Salah seorang peminat Man United berpendapat: “Ruben Amorim jelas sudah berputus asa dengan apa yang berlaku di Man United. Dia dijanjikan sokongan untuk membentuk skuad dan gaya permainan dia mahukan, namun dia rasa dikhianati.”

Yang lain berkata: “Berikan dia pemain yang dia mahu. Board Manchester United dah lama campur tangan dalam pembelian pemain.”

Seterusnya seorang lagi berkata: “Amorim jelas sekali sedang menunggu masa dia dipecat. Dia dah tak mahu jadi boneka orang atasan.”