Mikel Merino menegaskan bahawa Arsenal mempunyai kualiti dan kemampuan yang diperlukan untuk memburu kejuaraan domestik serta Eropah pada musim ini.
Selepas menamatkan penantian selama dua dekad untuk menjulang kejuaraan liga utama pada musim lalu, pemain tengah dari Sepanyol itu percaya skuad kendalian Mikel Arteta kini mampu melangkah lebih jauh di pentas Eropah.
Kemenangan meyakinkan ke atas Lille semalam menyaksikan Arsenal mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.
Keadaan yang sekali gus melanjutkan rekod kemenangan mereka dalam fasa liga kepada 14 perlawanan sepanjang hampir dua tahun.
“Ini satu rekod yang benar-benar luar biasa. Kami tahu bahawa kami sedang mencipta sejarah,” ujar Merino menurut sumber laporan Goal.
“Pada masa sama, kami sedar betapa sukarnya untuk memenangi setiap perlawanan. Oleh itu, kami amat menghargai usaha dan pencapaian pasukan setakat ini.”
“Matlamat kami adalah untuk memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan segala-galanya. Itulah yang dimahukan pengurus, para penyokong dan kami sendiri sebagai pemain.”
Selain itu, kekalahan menyakitkan menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara musim lalu menjadi pembakar semangat buat skuad Arsenal untuk menebus kekecewaan itu kali ini.
“Sudah tentu. Itulah mentaliti dan sasaran kami. Kami hampir mencapainya musim lalu. Pengalaman itu membuktikan bahawa kami sudah bersedia untuk melakukannya.”
“Sekarang, semuanya bergantung kepada perkara-perkara kecil. Kami perlu kekal fokus dan bersedia ketika tiba saat-saat penting.
“Sudah tentu, kami percaya bahawa kami mampu melakukannya,” tambah beliau lagi.