Mexico melakar sejarah apabila memenangi perlawanan peringkat kalah mati Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun selepas menewaskan Ecuador 2-0 di Stadium Azteca, Mexico City, sebentar tadi.

Sepak mula perlawanan yang terlewat selama satu jam akibat petir di sekitar stadium langsung tidak menjejaskan suasana di dalam stadium.

Didorong sorakan padu penyokong tuan rumah, Mexico tampil menguasai perlawanan sejak awal menentang wakil Amerika Selatan itu.

Skuad kendalian Javier Aguirre itu menjaringkan dua gol dalam tempoh sembilan minit pada babak pertama menerusi jaringan menarik daripada Julian Quinones dan Raul Jimenez.

Keputusan itu juga sama dan dicatatkan di venue yang sama seperti satu-satunya kejayaan Mexico melepasi pusingan kalah mati sebelum ini apabila mereka menewaskan Bulgaria pada tahun 1986.

Mexico Tamatkan Penantian

Ia merupakan kali terakhir negara itu menjadi tuan rumah kejohanan yang berlangsung setiap empat tahun sekali.

“Sudah hampir 40 tahun sejak kali terakhir saya melihat Stadium Azteca dipenuhi suasana sebegini,” ujar Javier Aguirre menurut sumber laporan ESPN.

“Kemenangan ini amat bermakna buat saya. Saya juga pernah menjadi antara pemain yang gagal melangkah ke perlawanan kelima [suku akhir]. Kegagalan itu sangat menyakitkan.”

“Anda berjaya melepasi peringkat kumpulan dan beraksi dengan baik tetapi akhirnya satu kesilapan besar menyebabkan anda tersingkir.”

“Hari ini, sokongan serta hubungan erat dengan para penyokong memberi kami suntikan semangat. Stadium ini benar-benar luar biasa. Ini adalah malam yang cukup istimewa buat seluruh rakyat Mexico.”

Piala Dunia edisi pertama yang diperluaskan kepada 48 pasukan bermakna skuad El Tri itu masih belum mencapai impian yang sekian lama dinantikan iaitu untuk kembali ke suku akhir.

Menanti mereka di pusingan 16 nanti adalah pemenang antara England dan DR Congo.