Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan ‘Financial Fair Play’ (FFP) akan dilaksanakan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Bagaimanapun, pelaksanaan FFP dalam konteks Liga Malaysia  berbeza dengan pendekatan FFP yang sudah diguna pakai di liga terkemuka dunia.

Baca Juga:

FFP di Liga Malaysia berkaitan dengan isu tunggakan gaji dan perbelanjaan pasukan serta disesuaikan dengan ekosistem bola sepak tanah air merujuk kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Tahun pertama FFP dalam Liga M dilihat sebagai tahun pengenalan untuk memantau pembayaran gaji pemain dan pegawai yang menjadi isu utama dihadapi dalam liga serta meningkatkan tanggungjawab kelab dalam memastikan kestabilan kewangan yang kukuh.

“Selepas proses penyerahan dokumentasi dan prosedur pemantauan yang dilaksanakan disesuaikan oleh kelab Liga M, mulai tahun kedua dan seterusnya, MFL akan terus memantau dan melaksanakan peraturan pendapatan serta perbelanjaan berhemat untuk memastikan kemampanan jangka panjang pasukan,” kata MFL dalam satu kenyataan, hari ini.

Sesi pertama taklimat FFP telah diadakan menerusi dalam talian dengan semua kelab pada 25 April lalu dan berkongsi keperluan FFP untuk musim 2024-2025.

Krisis tunggakan gaji sentiasa melanda pasukan Liga Super setiap tahun. Situasi itu menyebabkan mereka berpotensi berdepan hukuman berat seperti sekatan perpindahan pemain serta penarikan lesen kebangsaan,

Antara pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji pada musim lepas ialah Kedah Darul Aman (KDA FC), KL City, Negeri Sembilan dan TRW Kelantan.

Pelaksanaan FPP dalam saingan Liga Malaysia akan membantu pasukan mengawal perbelanjaan agar tidak berbelanja melebihi kemampuan mereka.