Peraturan ‘Financial Fair Play’ (FFP) bakal diumumkan oleh Malaysia Football League (MFL) dalam masa terdekat bagi mengawal perbelanjaan pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingan menurut laporan dalam Berita Harian semalam.

Baca Juga:

Bagaimanapun, Stuart menjelaskan pelaksanaan FFP dalam  Liga Malaysia (Liga M) berbeza dengan pendekatan FFP yang sudah diguna pakai di liga terkemuka dunia.

“Kita kena faham apabila kita merujuk FFP di liga terkemuka dunia contohnya di Eropah, pendekatan mereka berbeza dari segi terlebih belanja, penggunaan untuk ‘sport washing’ dan kegiatan perbelanjaan mereka untuk tiga ke empat tahun kewangan.

“Kalau dalam konteks kita, kita hanyalah isu gaji dan sebab itulah, FFP kita berbeza dengan FFP di negara yang bola sepaknya lebih matang. Kita kena faham konteks FFP ini kerana masalah kita hanyalah masalah tidak bayar gaji,” kata Stuart kepada Berita Harian.

Krisis tunggakan gaji sentiasa melanda pasukan Liga Super setiap tahun. Situasi itu menyebabkan mereka berpotensi berdepan hukuman berat seperti sekatan perpindahan pemain serta penarikan lesen kebangsaan,

Antara pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji pada musim lepas ialah Kedah Darul Aman (KDA FC), KL City, Negeri Sembilan dan TRW Kelantan.

Pelaksanaan FPP dalam saingan Liga Malaysia akan membantu pasukan mengawal perbelanjaan agar tidak berbelanja melebihi kemampuan mereka.