Miroslav Klose telah menghantar mesej cukup berkelas kepada Lionel Messi selepas ikon Argentina itu secara rasmi memintasnya sebagai penjaring gol terbanyak dalam sejarah Piala Dunia.

Pemain berusia 38 tahun itu kini berdiri di puncak seorang diri selepas aksi yang klinikal menentang Austria untuk menghasilkan dua gol ketika juara bertahan itu meneruskan usaha mereka memburu lebih kegemilangan.

Legenda Jerman itu pantas memberi pujian kepada Messi selepas melihat rekod lamanya akhirnya dipecahkan. Klose yang bersara dengan 16 gol di pentas terbesar dunia itu jelas sangat mengagumi bintang Inter Miami tersebut.

“Saya selalu kata Messi bukan pemain biasa,” ujar bekas pemain berusia 48 tahun itu menurut sumber laporan Goal.

“Bagi saya, Leo ialah pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman! Tahniah, juara!”

Lionel Messi Tunjang Kekuatan Argentina

Beliau memasuki perlawanan menentang Austria selepas sudah menyamai rekod Klose dengan 16 gol hasil hatrik sensasi ketika Argentina menang 3-0 ke atas Algeria dalam perlawanan pembukaan.

Dalam perlawanan berintensiti tinggi di Dallas awal pagi tadi, beliau kemudian memintas rekod tersebut dengan menjaringkan dua gol yang membolehkannya mengatasi rekod lama Klose.

Detik bersejarah itu tiba pada minit ke-38 apabila Messi menemui jaringan untuk gol Piala Dunia ke-17.

Malam itu menjadi lebih istimewa untuk kapten Argentina tersebut apabila Messi menambah satu lagi gol pada saat-saat akhir, menjadikan jumlah keseluruhan golnya dalam kejohanan itu kepada 18.

Beliau sebenarnya mampu untuk melakarkan satu lagi hatrik pada perlawanan itu tetapi sepakan penaltinya pada awal permainan gagal menemui sentuhan jaringan.

Namun, ia langsung tidak merentap semangat bintang Argentina itu untuk menghasilkan dua jaringan sekali gus menjadikan dirinya sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia pada ketika ini.

Sumber