Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang apabila menundukkan Shah Alam City 4-1 pada aksi ketiga Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, sebentar tadi.

Ia juga merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dilakarkan skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia itu yang sebelum ini mengatasi Gombak TOT United (6-1) dan Terengganu (8-1).

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Naib juara MPFL dan Piala Futsal Malaysia 2023 itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Caio Cesar Garcia Rego menemui sentuhan gol seawal minit pertama.

Mendapat umpanan daripada Helio Neto, Caio melakukan percubaan tonjol leret yang menewaskan penjaga gol Shah Alam City, Syahman Idris.

Percubaan leret terus menjadi masalah buat Syahman setelah beliau dibolosi pada minit ketujuh hasil rembatan dilakukan Abu Haniffa Hassan.

JDT terus garang seminit kemudian apabila ‘backheel’ jarak dekat oleh Mahadir Harahap Khairuddin menjadikan kedudukan 3-0.

Memasuki babak kedua, Shah Alam City yang dibimbing Muizzuddin Mohd Harris tampil dengan aksi lebih kemas untuk memberikan ancaman ke kubu JDT yang dikawal Aiman Fikry Ramli.

Tetapi bekas penjaga gol skuad bawah 20 tahun kebangsaan itu beraksi dengan cemerlang untuk menafikan deretan percubaan jarak jauh dijelmakan pasukan tuan rumah terutamanya menerusi Isaias Figueiredo Caja Filho dan Kelwin Clayton Soares Alves.

Gol keempat hadir pada minit ke-37 selepas Caio mengambil kesempatan susulan kesilapan Shah Alam City ketika taktikal ‘Powerplay’.

Ketika aksi hampir ditamatkan, Isaias Figueiredo menghasilkan jaringan saguhati buat Shah Alam City untuk perlawanan berkesudahan 4-1 memihak JDT.

Dengan kemenangan ini, JDT mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas dengan sembilan mata, berkelebihan tiga mata dihadapan Gombak TOT United.