Ketua jurulatih skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia atau lebih mesra dengan panggilan Juanito tidak mendabik dada dengan kelebihan dimiliki anak buahnya.

Selepas mengharungi sembilan aksi liga, JDT kini meninggalkan Pahang Rangers dengan kelebihan lapan mata yang menyaksikan saingan hanya berbaki lima perlawanan.

Baca Juga:

Pengalaman luas para pemain dibuktikan pada aksi terakhir bertemu Shah Alam City tempoh hari dimana JDT bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk meraih kemenangan 6-5 di Pasir Gudang.

Dengan kekuatan barisan pemain serta kelebihan mata dimiliki, JDT dilihat seperti tidak terlalu berdepan masalah untuk menjulang kejuaraan MPFL buat kali pertama sejak ditubuhkan pada musim lalu.

Namun, pengendali kelahiran Sepanyol itu tidak mengambil mudah cabaran pasukan lain meskipun sudah boleh dikatakan sebelah kaki bakal muncul selaku juara.

“Kami berjaya mencatatkan kemenangan pada kesemua sembilan perlawanan liga setakat ini dan mendahului pasukan lain dengan lapan mata,” ujar Juanito.

“Tetapi ini tidak bermakna bahawa kami sudah boleh berehat dan menunggu masa untuk bergelar juara.”

“Masih banyak perlawanan yang perlu dihadapi dan kami akan mengambil pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan dengan objektif jelas untuk meraih kemenangan serta pasukan sedang berada pada tahap yang terbaik,” tambah beliau lagi.

JDT bakal berkunjung ke Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada Ahad ini untuk menghadapi cabaran Selangor manakala pencabar terdekat mereka, Pahang Rangers berdepan Gombak TOT United.