Tahun lepas, fenomena peraduan atau ‘battle’ produk keluaran Khairul Aming telah melahirkan lima orang pembeli terpantas yang sangat bertuah.

Hadiahnya bukan biasa-biasa, mereka berjaya menempah tiket penerbangan untuk percutian idaman ke New Zealand. Menariknya, daripada lima orang pemenang utama ini, empat daripadanya adalah wanita dan hanya seorang pemenang lelaki.

Tentu ramai yang tertanya-tanya, apakah rahsia kehebatan jari mereka? Apakah jenis bank, rangkaian internet, gajet, dan situasi mereka ketika bergelar pembeli terpantas?

Anda bernasib baik kerana pemilik bisnes sendiri iaitu Encik Khairul Aming telah pun menyoal mereka dalam memberi panduan kepada para pembeli pada siri kali ini.

Maisarah dan bilik gelap

Pemenang tempat pertama, Maisarah, mempertaruhkan kecekapan sistem Maybank dan kelajuan internet Maxis Fibre. Walaupun bimbang dengan prestasi talian di kawasannya pada hari tersebut, nasib ternyata menyebelahi beliau.

Gajet yang digunakan pula perlu dipastikan sentiasa ‘hidup’, lalu telefon pintarnya dicucuk siap-siap pada bank kuasa atau ‘power bank’ kerana risau bateri mati di pertengahan jalan.

Menariknya, situasi Maisarah ketika itu agak mencuit hati. Beliau sanggup menyorok di dalam bilik yang gelap bersendirian demi sebuah tumpuan.

“Tolong tengokkan anak-anak sekejap, saya nak fokus,” pesannya kepada sang suami sebelum pertempuran bermula, di mana semua urusan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada suaminya ketika itu.

Bagi mengelakkan rasa gemuruh, Maisarah memilih untuk tidak bercerita kepada sesiapa pun tentang niatnya menyertai cabaran tersebut.

Tambahnya lagi, niat yang betul adalah kunci utama. Beliau sekadar mahu membeli rendang kegemaran anaknya, dan memasang niat sekiranya menang, beliau mahu membawa ayahnya melancong bersama.

Zuhaira dengan berkata paksaan ayah

Kisah pemenang kedua, Zuhaira, pula tidak kurang lucunya. Hanya berbekalkan aplikasi Maybank2u dan talian XOX, beliau gigih berjuang menggunakan telefon bimbit terpakai dari zaman pandemik yang kesihatan baterinya sudah berada di tahap kritikal atau ‘nazak’.

Sambil mengecas telefon menggunakan bank kuasa di dalam kereta, beliau cuba fokus walaupun tumpuannya sedikit terganggu apabila melihat sebuah kereta sport lalu di hadapannya ketika dalam perjalanan ke pusat sukan di Bangi.

“Saya sebenarnya tak nak join battle ni, tapi kena paksa dengan ayah. Nak tak nak, dengarlah kata-kata ibu bapa kita untuk berjaya di dunia dan akhirat,” seloroh Zuhaira.

Berkat taat pada arahan ayahnya, rezeki percutian ke luar negara menjadi miliknya walaupun sekadar menggunakan gajet yang serba kekurangan dan dibantu oleh talian internet yang tersangkut-sangkut.

Ara dan cabaran anak mengamuk

Pemenang ketiga dikenali sebagai Siti Zahraa atau mesra disapa Ara. Beliau menggunakan perkhidmatan Maybank dan internet prabayar Umobile yang hanya mempunyai satu bar isyarat ketika itu. Dengan bateri telefon berbaki 58 peratus, Ara gigih menyertai sesi siaran langsung tersebut di rumahnya.

Dugaannya bukan pada kelajuan internet semata-mata, tetapi pada situasi sekeliling yang agak menguji kesabaran.

“Masa tu anak tengah mengamuk nak minta temankan tidur, tapi saya teruskan juga sambil melayan kerenahnya,” ceritanya mengenai kekalutan pada malam kejadian.

Pesanan Ara kepada mereka yang mahu mencuba nasib pada masa akan datang adalah supaya masuk ke siaran langsung lebih awal, kongsikan pautan kepada grup keluarga untuk mencuba nasib bersama, dan yang paling penting, niat hanya untuk membeli produk. Kalau menang, itu semua adalah rezeki.

Faiz dan ketenangan di atas sofa

Muhammad Faiz merupakan satu-satunya wira dalam senarai pemenang ini. Beliau menduduki tempat keempat dengan menggunakan Maybank2u dan pelan pascabayar Digi 5G.

Gajetnya pula adalah telefon pintar tanpa sarung pelindung yang dibeli secara ansuran kad kredit Maybank selama tiga tahun.

Suasana Faiz ketika itu cukup tenang dan santai. Beliau hanya duduk selesa di atas sofa ruang tamu tanpa alat pendingin hawa. Kipas pula hanya dipasang pada kelajuan nombor tiga kerana beliau sudah berasa agak sejuk pada waktu itu.

“Baca Bismillah dulu sebelum bermula. Pesanan saya, jangan terlalu berharap kepada sesuatu yang tidak pasti,” kata Faiz berkongsi rahsia ketenangannya dalam memenangi pertempuran tersebut.

Sakinah dengan strategi kunci pintu.

Pemenang kelima, Sakinah, memilih Bank Islam sebagai medium pembayaran dan pelan pascabayar Umobile untuk rangkaian internetnya. Tiada persediaan gajet yang rumit, beliau sekadar menggunakan telefon pintar sedia ada di tangannya.

Sama seperti Maisarah, Sakinah juga mahukan privasi penuh untuk memastikan kelajuan jari berada pada tahap optimum. Beliau mengurung diri di dalam bilik bersendirian dan mengunci pintu agar bebas daripada sebarang gangguan.

“Tips saya mudah saja, tidak perlu berharap sangat nak menang. Niat cuma nak cuba nasib battle produk Khairul Aming,” jelasnya ringkas tentang cara beliau mengawal emosi ketika bersaing dengan ribuan pembeli tegar yang lain.

Nak Menang Battle KA? Ini Telco, Bank & Petua Dari 5 Pemenang NZ Trip Tahun Lepas
Sumber Gambar: Threads KA

Melihat kepada kelima-lima kisah ini, ternyata tiada formula magis atau gajet kayangan yang diwajibkan untuk menjadi pembeli terpantas.

Ada yang menggunakan telefon berstatus kritikal, ada yang bergelut melayan karenah anak, dan ada yang sekadar mencuba nasib tanpa meletakkan sebarang harapan yang tinggi.

Namun, titik persamaan mereka adalah kecekapan memilih aplikasi perbankan, mencari ruang fokus yang paling selesa mengikut cara masing-masing, dan meletakkan niat yang ikhlas. Siapa sangka, gabungan kelajuan jari dan rezeki yang tertulis akhirnya membawa mereka terbang jauh untuk menikmati keindahan alam di New Zealand.