Negara yang bakal bertanding dalam Piala Dunia 2026 semakin hampir untuk menamakan barisan pemain untuk membawa cabaran pasukan masing-masing di benua Amerika Utara itu.

Bosnia and Herzegovina menjadi pasukan pertama yang menamakan senarai lengkap 26 pemain untuk menghadapi saingan dalam kumpulan B bersama-sama tuan rumah Kanada, Qatar dan Switzerland.

Juara bertahan Argentina dan juara terbanyak saingan iaitu Brazil pula sudah mengeluarkan senarai panjang 55 pemain dengan Lionel Messi, Neymar dan Thiago Silva turut tersenarai.

Namun begitu, di sebalik kemeriahan negara-negara yang sudah mula membuat persiapan akhir, terdapat beberapa nama besar yang dijangka terlepas peluang beraksi di pentas Piala Dunia 2026.

Berikutan masalah kecergasan mahupun faktor persaingan dalam skuad, beberapa pemain ternama hanya akan menjadi penonton di bumi Amerika Utara nanti.

Mereka yang dimaksudkan ialah:

Nama Besar Yang Gagal Ke Piala Dunia 2026

1) Xavi Simons

Tonggak tengah Belanda itu disahkan terlepas aksi Piala Dunia nanti selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Senarai Antara Nama Besar Yang Gagal Ke Piala Dunia 2026 (Bahagian 3)
Xavi Simons. Kredita Foto: FRANCK FIFE / AFP

Pemain Tottenham Hotspur berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan tersebut ketika aksi English Premier League (EPL) bertemu Wolves pada 25 April lalu.

2) Hugo Ekitike

Pemain skuad kebangsaan Perancis itu terpaksa melupakan saingan Piala Dunia selepas mengalami kecederaan ketika aksi suku akhir UEFA Champions League (UCL) Liverpool menentang Paris Saint-Germain di Anfield.

Hanya sempat beraksi selama 22 minit, Ekitike terpaksa diusung keluar dan disahkan mengalami kecederaan koyak Achilles tendon yang memaksa beliau berehat sekurang-kurangnya sembilan bulan.

3) Paulo Dybala

Masa depan Paulo Dybala bersama skuad kebangsaan Argentina dilihat semakin hampir ke penghujungnya.

Ketua jurulatih, Lionel Scaloni tidak menyenaraikan penyerang AS Roma itu dalam senarai awal 55 pemain bagi menghadapi Piala Dunia 2026.

Keputusan Scaloni untuk mengetepikan pemain berusia 32 tahun itu dilihat sebagai petanda bahawa perjalanan Dybala bersama La Albiceleste mungkin sudah berakhir.

4) Angel Di Maria 

Scaloni
Kredit Foto: Kirill KUDRYAVTSEV / AFP

Senasib dengan Dybala, pemain sayap veteran ini juga tidak disenaraikan.

Ia bagaimanapun bukanlah perkara mengejutkan kerana Scaloni dengan lebih awal sudah memberikan isyarat jelas bahawa tiada ruang buat pemenang Piala Dunia 2022 itu untuk bersama pasukan.

5) Estevao Willian

Tamparan hebat buat Brazil apabila bakal kehilangan khidmat pemain muda berbakat besar ini selepas mengalami kecederaan otot paha kanan.

Mengalami kecederaan pada 18 April lalu, Estevao sebelum ini memilih untuk tidak menjalani pembedahan dan sebaliknya menjalani rawatan konservatif di Brazil dengan harapan dapat kembali cergas tepat pada waktunya.

Estevao
Kredit Foto: Jose Breton / NurPhoto via AFP

Namun, proses pemulihannya dilaporkan berjalan lebih perlahan daripada jangkaan sebelum pasukan perubatan akhirnya menasihatkan supaya namanya tidak dimasukkan dalam senarai awal yang dihantar Persatuan Bola Sepak Brazil kepada FIFA.

Baca juga senarai nama besar yang terlepas aksi Piala Dunia 2026 bahagian 1 dan bahagian 2.