Bekas pemain sayap Manchester United, Nani mengakui The Red Devils mampu untuk muncul juara English Premier League (EPL) musim ini berdasarkan prestasi semasa ditampilkan.

United memulakan musim dengan prestasi buruk apabila hanya memenangi satu daripada lima perlawanan pembukaan mereka musim ini.

Baca Juga:

Ia termasuklah kekalahan mengejut dalam penentuan penalti Piala EFL kepada Grimsby pada Ogos lalu.

Tekanan semakin meningkat terhadap Ruben Amorim untuk mengubah nasib United, malah terdapat desakan agar kelab memecat pengendali kelahiran Portugal itu.

Namun kebangkitan hebat dipamerkan dengan tiga kemenangan berturut-turut dilakarkan iaitu ketika bertemu Sunderland, Liverpool dan Brighton.

Momentum cemerlang itu ingin diteruskan pada aksi esok menentang pasukan kelompok bawahan, Nottingham Forest di City Ground.

Sehubungan dengan itu, dengan aksi hebat dijelmakan skuad kendalian Amorim, Nani melihat ada ruang buat Manchester United untuk menamatkan penantian selama 12 tahun tersebut.

Pendapat Nani Tentang Peluang Manchester United

“Mengapa tidak [peluang Manchester United muncul juara liga]?,” ujar Nani menurut sumber laporan Goal.

“Mereka sedang membina sebuah pasukan yang kuat dan berusaha untuk kembali bersaing dengan pasukan-pasukan yang sentiasa berada di tangga teratas liga seperti Arsenal, Liverpool, Chelsea dan Man City.”

“Jadi, mereka kini berada di landasan yang betul. Mereka mempunyai peluang.”

“Kalau mereka menang dalam beberapa perlawanan akan datang, segalanya boleh berubah. Jadi, kita tak tahu. Teruskan sahaja memenangi perlawanan dan kemudian kita lihat bagaimana.”

“Kalau bukan tahun ini, mungkin mereka akan dapat keyakinan untuk musim depan. Jadi, kita tunggu dan lihat.”

Tentang kebangkitan semasa pasukan itu, beliau menambah: “Ia sesuatu yang menakjubkan. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kelab dan para pemain perlukan masa kerana kita tahu sejarah besar di belakang mereka.”

“Bukan mudah untuk sesiapa yang baru tiba untuk terus menyambung legasi itu.”

“Kita tahu kelab ini sedang melalui perubahan besar,  ramai pemain baharu, jurulatih baharu, staf baharu  dan semua orang perlu benar-benar faham betapa besarnya kelab ini, sejarahnya, serta bagaimana mereka perlu menyesuaikan diri untuk meneruskan tugasan itu.”

“Ruben Amorim telah melakukan tugasnya dengan baik, dia seorang pengurus yang hebat.”

“Kami [Manchester United] mempunyai ramai pemain berbakat dalam pasukan, jadi berikan mereka sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dengan liga dan lihat bagaimana mereka boleh saling berpadu sebagai satu pasukan serta beraksi konsisten setiap minggu.”

“Kini kami berada dalam suasana yang positif, dalam momentum yang baik. Kami telah menang tiga perlawanan, dan saya percaya perlawanan seterusnya akan menjadi kemenangan keempat.”

“Dari situ, kami ada peluang untuk membina satu kumpulan pemain yang lebih kukuh dan mampu beraksi mantap setiap minggu.”