Gary Neville berkata bahawa tindakan Chelsea mendapatkan pemain berpengalaman seperti Danny Welbeck dan Jordan Henderson adalah langkah tepat yang diperlukan oleh pemain muda mereka bagi mendapatkan lebih banyak bimbingan serta tunjuk ajar.

The Blues telah membuat perubahan drastik terhadap polisi perpindahan mereka menerusi minat mendapatkan Danny Welbeck sekali gus bakal menjadi pemain pertama berusia lebih 26 tahun yang dibayar yuran perpindahan oleh kelab tersebut sejak 2022.

Sebelum ini polisi Chelsea lebih berminat untuk mendapatkan khidmat pemain muda walaupun terpaksa berbelanja besar. Keadaan tersebut secara tidak langsung membuatkan Chelsea seperti kehilangan pemimpin untuk mengemudi pasukan.

Bagaimanapun, Neville percaya bahawa perkembangan terbaharu itu bukanlah sesuatu yang ‘ajaib’, sebaliknya ia merupakan contoh perkara yang perlu dilakukan oleh semua pasukan besar untuk terus bersaing di tahap tertinggi.

Jordan Henderson
Kredit Foto: CARL DE SOUZA / AFP

Elemen Yang Diperlukan Chelsea

“Jika anda menyaksikan Chelsea dalam tempoh tiga, empat atau lima tahun terakhir, anda akan melihat terdapat masalah kurang pengalaman di seluruh kelab,” ujar Neville menurut sumber laporan Sky Sports.

“Saya fikir membina tulang belakang pasukan dengan pemain profesional berpengalaman yang mampu menjadi penjaga kepada budaya tingkah laku baik, tanggungjawab dan disiplin dalam bilik persalinan adalah sesuatu yang bukanlah perkara ajaib. Ia adalah sesuatu yang dimiliki semua pasukan terbaik sejak berdekad lamanya.”

Gary Neville: "Chelsea Perlukan Pemain Seperti Welbeck & Henderson Untuk Bimbing Bintang Muda"
Kredit Foto: Glyn KIRK / AFP)

“Membawa masuk Jordan Henderson dan Danny Welbeck yang tahu bagaimana rasanya memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tugas mereka bukan sahaja di atas padang tetapi juga di luar padang.”

“Mereka masih pemain berkualiti yang mampu menyumbang 25 hingga 35 perlawanan semusim tetapi mereka akan memastikan pemain muda hadir setiap hari dengan komitmen penuh dan memberikan yang terbaik.”

“Saya rasa pemain muda Chelsea tidak mempunyai pemimpin sebenar atau bimbingan yang mencukupi, sama ada di dalam atau di luar padang.”

“Kini mereka sudah memiliki individu yang mampu memainkan peranan tersebut,” tambah Neville lagi.

Sumber