Duo berpengalaman kelahiran England, Danny Welbeck dan Jordan Henderson mungkin bakal memberikan makna baharu kepada gelaran ‘Chelsea Pensioners’.
Dalam perubahan mengejut daripada polisi perpindahan berasaskan pemain muda yang menjadi identiti kendalian BlueCo sejak mengambil alih Chelsea pada 2022, kelab itu dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat penyerang berusia 35 tahun itu serta pemain tengah berusia 36 tahun tersebut pada musim panas ini.
Kehadiran bukan seorang tetapi dua pemain veteran berusia pertengahan 30-an sememangnya akan menandakan permulaan era baharu buat The Blues di bawah kendalian pengurus baharu, Xabi Alonso, individu yang mahukan lebih banyak pengalaman serta pengetahuan taktikal dalam skuadnya.
Sebelum ini, Tosin Adarabioyo adalah merupakan pemain tertua dalam skuad Chelsea dimana usianya pada ketika ini hanyalah 28 tahun.
Namun, nampaknya The Blues benar-benar serius dengan pendekatan untuk mendapatkan pemain yang mempunyai ciri kepimpinan, matang dan memiliki kekuatan mental. Malah, ia lebih daripada apa yang dijangkakan ramai.
Walaupun kedua-duanya sudah terbukti beraksi di Liga Perdana Inggeris, persoalan tetap timbul mengenai apa yang mampu diberikan oleh pemain berpengalaman seperti Welbeck dan Henderson pada penghujung karier masing-masing, khususnya dari segi kualiti di atas padang.
Apa Kelebihan Jordan Henderson & Danny Welbeck Hingga Tarik Perhatian Xabi Alonso?
Namun, langkah ini dilihat sebagai satu pertaruhan yang dirancang dengan teliti dan mungkin sahaja membuahkan hasil buat Chelsea.
Jelas bahawa Henderson bukan diburu kerana kemampuan bola sepaknya semata-mata, sebaliknya lebih kepada sumbangan yang mampu diberikannya di luar padang kepada sebuah skuad yang selama ini sangat kekurangan kepimpinan dan disiplin.
Situasi itu sebahagian besarnya berpunca daripada strategi pengambilan pemain Chelsea yang menyebabkan mereka tidak memiliki ramai pemain berpengalaman di peringkat tertinggi.
Dalam konteks tersebut, kebimbangan yang mungkin dirasai penyokong Chelsea sedikit sebanyak boleh diredakan menerusi peranan Henderson bersama skuad England serta pujian tinggi daripada rakan sepasukan dan bekas pengurus The Blues, Thomas Tuchel yang kini muncul sebagai antara penyokong paling kuat terhadap pemain tengah itu.
Welbeck juga pastinya bukan sekadar pemain pelengkap dalam skuad. Walaupun semakin dimamah usia, penyerang Brighton itu baru sahaja melalui musim paling produktif dari segi jaringan sepanjang 18 tahun kariernya di Liga Perdana Inggeris, dengan meledak 13 gol.
Jumlah tersebut merupakan rekod jaringan terbaiknya dalam saingan liga utama England setakat ini manakala pencapaian kedua terbaiknya hadir pada musim 2024/25.
Angka itu jauh lebih baik berbanding sumbangan minimum Liam Delap yang hanya menjaringkan satu gol sebagai penyerang pilihan kedua Chelsea di belakang Joao Pedro pada musim lalu.
Kehadiran Welbeck juga bermakna Xabi Alonso secara tiba-tiba memiliki dua penyerang yang sudah terbukti kemampuan mereka dalam kancah Liga Perdana Inggeris untuk tempoh yang panjang. Tambahan pula, Pedro dan Welbeck pernah bergandingan dengan baik ketika bersama di Stadium Amex, sekali gus menjadi satu lagi kelebihan buat Chelsea.
Seperti Henderson, penyerang veteran itu juga dijangka menjadi antara suara penting dalam bilik persalinan Chelsea.
Pada Mac lalu, pengendali Brighton, Fabian Hurzeler memuji penyerang utamanya itu dengan berkata: “Dia bukan sahaja sangat bernilai buat kami sebagai penjaring gol tetapi juga sebagai seorang pemimpin di dalam dan luar padang.”
Kehadiran Welbeck dan Henderson mungkin memberikan makna baharu kepada gelaran ‘Chelsea Pensioners’, sesuatu yang sangat berbeza berbanding pendekatan sebelum ini.
Namun, perubahan strategi Chelsea dalam pasaran perpindahan hanya boleh dilihat sebagai satu lagi perkembangan positif buat skuad yang sebelum ini kelihatan hilang arah pada penghujung kempen 2025/26 yang mengecewakan.
Kini, terdapat rasa teruja yang semakin meningkat terhadap apa yang sedang dibina oleh Xabi Alonso di Stamford Bridge.