Eddie Howe secara rasmi melepaskan jawatannya sebagai pengurus Newcastle United selepas hampir lima tahun membimbing kelab itu.
Keputusan mengejutkan itu dibuat hanya beberapa minggu sebelum musim baharu Liga Perdana Inggeris bermula.
Menurut laporan The Telegraph, Howe sebenarnya telah memaklumkan kepada pengurusan bahawa beliau mahu meninggalkan kelab dan mengambil rehat daripada dunia kejurulatihan.
Namun, di sebalik alasan rasmi itu, beliau dipercayai semakin kecewa dengan hala tuju Newcastle dalam jendela perpindahan musim panas ini.
Howe dilaporkan tidak berpuas hati selepas beberapa tonggak utama pasukan dilepaskan, termasuk Sandro Tonali dan Anthony Gordon.
Pada masa sama, masa depan kapten Bruno Guimaraes juga terus menjadi tanda tanya, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa skuad yang dibinanya sejak 2021 semakin terhakis.
Howe percaya Newcastle memang mahu menjual Bruno Guimaraes ke Arsenal, setelah kelab itu membuka pintu rundingan beberapa minggu lalu.
Keadaan itu dikatakan menyebabkan hubungan antara Howe dan pihak pengurusan menjadi tegang, terutama berkaitan strategi perpindahan dan perancangan jangka panjang kelab.
Walaupun Newcastle berjaya menamatkan kemarau trofi domestik selama 70 tahun di bawah kendaliannya serta dua kali layak ke Liga Juara-Juara Eropah, beliau merasakan projek yang dibina tidak lagi bergerak ke arah yang diinginkan.
🚨 BREAKING: Eddie Howe set to leave Newcastle United. 48-year-old has decided to step aside.
Al-Ahli boss Matthias Jaissle expected to replace him. Saudi side won’t stand in his way following back-to-back Asian Champions League titles. Jaissle’s contract contains a release… pic.twitter.com/AydurTF3CR
— Ben Jacobs (@JacobsBen) July 30, 2026
Newcastle kini dilaporkan sedang memuktamadkan pelantikan jurulatih Al Ahli, Matthias Jaissle, sebagai pengganti Howe. Perpindahan itu dijangka berjalan lancar memandangkan kedua-dua kelab berada di bawah pemilikan Public Investment Fund