Pemain pemain Newcastle dan Tottenham masing masing memberikan penghormatan kepada Son Heung Min.

Legenda  Spurs dan legenda EPL dari Korea Selatan itu rasmi akan meninggalkan Spurs pada musim panas ini selepas sedekad bersama kelab tersebut.

Dan aksi pra musim menentang Newcastle adalah yang terakhir untuk Son Heung Min. Lebih menarik ianya berlangsung di Stadium Piala Dunia Seoul di Korea Selatan.

Ketika Son Heung Min dikeluarkan, pemain Spurs dan Newcastle terus memberikan selamat tinggal kepadanya. Mereka bersalaman dan berpelukan.

Kemudian pemain kedua dua pasukan memberikan Guard Of Honour untuk Son.

Perkara itu turut disaksikan oleh insan penting dalam karier Son Heung Min iaitu ayahnya sendiri.

Waktu tepat untuk berpisah

Son Heung Min menyatakan sebelum ini bahawa, meninggalkan Spurs adalah perkara paling sukar dalam hidupnya.

Namun selepas berbincang dengan kelab, ini adalah masa yang paling tepat untuk  meninggalkan kelab itu. Terutama sekali selepas membantu kelab itu menjuarai Liga Europa akhir musim lalu – yang turut melayakkan mereka beraksi di Liga Juara Juara Eropah musim ini.

Son menegaskan bahawa: “Ianya keputusan paling sukar dalam karier saya. Saya tiba di Spurs pada usia sangat muda, 23  tahun, ketika itu saya langsung tidak pandai berbahasa Inggeris.”

Son Heung Min mengucapkan terima kasih kepada Spurs dan peminat kelab itu yang selama ini menyayanginya. Son masih belum membuat keputusan tentang destinasi dia yang seterusnya.