Setiap orang mempunyai berbeza-beza keperluan di dalam kehidupan. Namun, orang ramai dilihat menekankan untuk memiliki rumah sendiri apabila sudah menjejak usia dewasa.
Ditambah pula dengan harga hartanah yang melambung pada saban hari telah memaksa sesetengah individu untuk membuat pembelian mengejut tanpa berfikiran rasional. Kesilapan membuat keputusan kewangan sudah pasti akan memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang.
Baru-baru ini, seorang individu di platform X telah berkongsi tentang kenalan rapatnya yang mengalami isu kewangan ekoran terbeban dengan deposit bulanan selepas pembelian rumah.
Lebih mengejutkan, kenalannya terpaksa mengambil tiga kerja sekaligus hanya untuk menyara diri. Pemuda itu dikatakan memiliki gaji sekitar RM3,500 daripada pekerjaan utamanya, tetapi sebaik sahaja gaji diterima RM1,000 akan didepositkan untuk pinjaman rumahnya.
Difahamkan gaji hakiki kenalan itu masih belum ditolak dengan potongan EPF, Socso sekaligus memberi gambaran gaji bersihnya mungkin sekitar RM3,000 sahaja.
“Selain kerja hakiki, dia terpaksa melakukan bisnes dropship dan Grab untuk memenuhi pembiayaan kehidupan bulanan,” tulisnya di X.
Lelaki itu mendakwa kewangan kenalan terbabit telah terjejas teruk sebaik menerima kunci rumah idaman.
Dalam pada itu, kenalan lelaki itu menyedari dengan ciapan terbabit dan memaklumkan dia masih boleh meneruskan kehidupan walaupun perlu berkerja keras dengan mengambil kerja tambahan lain.
Ciapan lelaki itu lantas meraih perhatian netizen yang mana rata-ratanya bersimpati dengan nasib kenalan lelaki itu dan berkongsi pendapat bahawa pentingnya melakukan perancangan kewangan sebelum melakukan pinjaman besar seperti rumah atau kereta.
Ada sebahagian yang mengatakan situasi ini akan bertambah baik lambat laun kerana berpotensi meraih peningkatan gaji dan lebih mahir dalam menguruskan kewangan.
Ramai juga menasihati kepada golongan muda untuk tidak gopoh dalam membuat pembelian rumah dek kerana trend atau tekanan sekeliling.