Ketua jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi menegaskan bahawa masa depan yang ‘cantik’ bakal menanti bola sepak negara tersebut meskipun tersingkir di suku akhir Piala Dunia 2026.

Skuad dengan jolokan Atlas Lions itu tewas 0-2 kepada Perancis di Stadium Boston pada awal pagi tadi dengan Les Bleus mara untuk berdepan Sepanyol atau Belgium di separuh akhir.

Selepas seri dengan Brazil di peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan Belanda dan Kanada dalam pusingan kalah mati, Maghribi menjadi pilihan sesetengah pihak untuk memberikan cabaran kepada pasukan pilihan utama kejohanan.

Maghribi
Kredit Foto: Alfredo ESTRELLA / AFP

Walaupun gagal mengulangi pencapaian edisi 2022 dengan mara ke separuh akhir, Ouahbi tetap berbangga dengan cara pasukannya bersaing sambil menyatakan bahawa mereka mungkin kurang bernasib baik kerana Adrien Rabiot tidak dikenakan hukuman atas insiden bola terkena tangan ketika proses jaringan pertama Kylian Mbappe.

“Kita harus mengakui bahawa kami berdepan dengan pasukan yang sangat bagus. Kami berdepan banyak kesukaran pada separuh masa pertama dan kami bernasib baik kerana Bounou menyelamatkan sepakan penalti,” kata Ouahbi menurut sumber laporan beIN Sports.

“Pada separuh masa kedua, kami bertahan dengan lebih baik dan paling penting bila dengan bola, kami lebih tenang. Kami jauh lebih baik. Pada separuh masa pertama, nampaknya para pemain masih cuba mendapatkan semula rentak dan tenaga mereka.”

“Gol itu tercipta daripada satu gerakan yang mana ada sesetengah pengadil mungkin akan menghentikan permainan kerana mereka melihat ada sentuhan tangan. Memang ada bola terkena tangan, saya tidak tahu sama ada ia patut diberikan atau tidak. Selepas itu berlaku aksi individu Mbappe yang menjaringkan gol.”

Masa Depan Cerah Buat Bola Sepak Maghribi

Mengulas mengenai masa depan Maghribi, beliau melihat sinar terang bakal menyinari bola sepak di negara tersebut.

Brazil
Kredit Foto: TIMOTHY A. CLARY / AFP

“Kami akan teruskan perjalanan, kami tidak akan berhenti di sini. Kami sangat kecewa. Kami mahukan lebih daripada ini tetapi kami perlu menerimanya.”

“Jika kami terus bermain dengan cara seperti ini, masa depan akan menjadi cerah. Namun begitu, ia bukan bermakna kami tidak mahu menang hari ini.”

“Kami melakukan segala-galanya untuk cuba memenangi perlawanan ini tetapi kami berdepan dengan pasukan yang bagus. Sudah tentu, kami kekal yakin dan kami tidak akan membiarkan diri kami terlalu kecewa,” tambah Ouahbi  lagi.

Sumber