Gelanggang rasmi skuad Perak FC iaitu Stadium Perak bakal berwajah baharu apabila kerja menaik taraf menggantikan rumput padang akan bermula pada hujung bulan Oktober.

Perkembangan itu disahkan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah menurut laporan Harian Metro. 

Baca Juga:

Stadium tersebut akan ditutup bagi menjalani proses menaik taraf sistem saliran serta penukaran rumput padang kepada rumput Zeon Zoysia dan dijangka siap bulan Jun tahun depan.

Sepanjang tempoh penutupan itu, pasukan Liga Super Perak FC akan bermain di Stadium Manjung pada sebelah petang.

“Sepanjang proses naik taraf itu, Stadium Perak akan ditutup dan pasukan Liga Super Perak akan bermain di Stadium Manjung pada sebelah petang dengan perlawanan pertama adalah pada 19 Oktober ini apabila Perak menentang Sabah.

“Pelantikan kontraktor sudah dibuat oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Kerja-kerja naik taraf itu akan bermula apabila selesai saja Kejohanan Olahraga MSSM bulan ini.

“Sehingga selesai kerja-kerja naik taraf dan sistem perparitan itu, barulah pihak MFL (Liga Bolasepak Malaysia) akan membuat pemeriksaan dan kalau sistem serta padang sesuai maka mungkin perlawanan untuk Liga Super pada musim akan datang akan berlangsung di Stadium Perak,” katanya dalan Harian Metro.

Stadium Majlis Perbandaran Manjung
Kredit Foto: Majlis Perbandaran Manjung

Perak antara lapan negeri yang menerima geran penuh RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi proses naik taraf sistem saliran dan penukaran rumput.

Penawaran geran ini adalah bagi menambah baik dan meningkatkan kualiti padang dan memastikan kelancaran perlawanan bola sepak terutamanya Liga Malaysia.

Keperluan ini telah timbul akibat perubahan kepada kalendar Liga Malaysia susulan perlawanan tidak dapat berlangsung semasa musim hujan kerana keadaan padang becak.