Keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kembali menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berkongsi gambar terkini di laman sosial semalam.
Gambar tersebut menunjukkan beberapa bahagian padang yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia itu kelihatan rosak teruk dan berwarna kuning dipercayai akibat ‘dihenyak’ oleh konsert Coldplay pada rabu lepas.
Baca Juga:
- Teknologi ProPitch Bantu JDT Jaga Kualiti Padang SSI
- Hamidin: Keadaan Padang SNBJ Lebih Baik, Sedia Untuk Digunakan
- Kim Pan-gon: Motivasi Pemain Perlu Lebih Tinggi Hadapi Kelayakan Piala Dunia
Bagaimanapun, TMJ tidak memberikan sebarang ulasan atau kapsyen pada gambar itu namun para peminat percaya beliau tidak puas hati melihat keadaan padang tersebut.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) November 24, 2023
Melihat kepada situasi itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah mula bertindak membaik pulih padang dengan kadar segera kerana ia akan digunakan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 yang bakal berlangsung pada 8 Disember ini.
“Kami akan pastikan permukaan padang Stadium Nasional boleh digunakan untuk final Piala Malaysia nanti. Kami sedar keprihatinan dan kebimbangan yang timbul dan akan segera mengatasi perkara itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi kepada Bernama.
Malah, pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac sempat berkongsi sekeping foto di laman instagramnya untuk memberi bayangan bahawa pihaknya mempunyai jalan penyelesaian kepada masalah padang itu.
Hans Isaac sebelum ini berkata PSM mempunyai pelan B andai rumput tersebut perlu diganti dengan kadar segara.
“Buat pertama kali, Perbadanan Stadium Malaysia mengambil langkah progresif dengan menempatkan 1 kawasan rumput simpanan sebagai persediaan awal seandainya rumput di Stadium Nasional memerlukan gantian segera.
“Pelbagai faktor perlu diambil kira dan dijaga rapi dalam memastikan kualiti rumput di tahap yg baik. Justeru itu, diharap inisiatif ini mampu memberi solusi terhadap isu berkaitan,” kata Hans Isaac di laman instagramnya pada 3 Oktober lepas.
Lebih 80,000 peminat muzik membanjiri SNBJ menyaksikan konsert Coldplay, sebuah kumpulan rock British.