Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo menjadi pilihan untuk menjadi pengendali sementara pasukan Korea Selatan bagi menghadapi saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan bersambung pada Mac ini.
Perkara ini dikongsikan oleh Korean Football News di laman media sosial X dimana Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) sedang mempertimbangkan Hang-seo sebagai pengendali sementara selepas mereka memecat Jurgen Klinsmann.
Baca Juga:
- Shin Tae-yong Berminat Kembali Jadi Ketua Jurulatih Korea Selatan
- TERKINI: KFA Pecat Jurgen Klinsmann
- Hukuman Penggantungan Menanti Son Heung-min Dan Lee Kang-in
Park Hang-seo is reportedly being discussed as a candidate for the national team's interim coach.
— Korea Football News (@KORFootballNews) February 25, 2024
Korea FA sedang mencari pengganti kepada Klinsmann selepas jurulatih dari Jerman itu dipecat ekoran gagal memenangi temasya Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar baru-baru ini.
Korea menamatkan saingan di peringkat separuh akhir dimana mereka tewas kepada Jordan dengan keputusan 2-0 sekaligus terus menunggu untuk menjulang trofi sejak kali terakhir melakukannya pada dua edisi awal.
Park Hang-seo sendiri bukanlah satu nama asing dalam saingan bola sepak Korea dimana beliau pernah menjadi penolong jurulatih, mengendalikan skuad B-23 tahun negara itu selain pernah menjadi ketua jurulatih bagi beberapa kelab di sana.
Jurulatih berusia 66 tahun itu pernah menjadi pembantu kepada Guus Hiddink ketika Korea menjadi tuan rumah bersama temasya Piala Dunia 2022 yang menyaksikan pasukan itu menamatkan saingan di tangga keempat.
Korea tewas kepada Jerman pada perlawanan separuh akhir menerusi gol tunggal Michael Ballack dan mereka kemudiannya tewas kepada Turkiye pada play-off tempat ketiga dengan keputusan 3-2.
Ketika mengendalikan skuad B-23 Tahun, Hang-seo membantu pasukan itu memenangi pingat gangsa Sukan Asia 2002. Meskipun berjaya membawa pulang pingat, beliau kemudiannya dipecat oleh Korea FA.
Korea Selatan ketika ini menghuni tangga pertama dalam carta kumpulan C saingan kelayakan. Mereka akan menghadapi Thailand di tempat sendiri dan tempat lawan pada Mac ini dan sekiranya berjaya mencatat kemenangan dalam dua aksi yang dihadapi, maka pasukan itu bakal melangkah ke pusingan ketiga.