Cape Verde mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan mereka hasil tiga keputusan seri.
Keputusan seri 0-0 menentang Arab Saudi dalam perlawanan terakhir sebentar tadi membolehkan mereka mengesahkan tempat mereka di pusingan 32 dimana mereka beraksi dalam penampilan pertama di Piala Dunia.
Cape Verde terpaksa menunggu dengan penuh debaran untuk mengetahui sama ada mereka akan layak, sambil menanti keputusan perlawanan antara Sepanyol dan Uruguay.
Namun, sebaik sahaja berita keputusan itu diterima, para pemain dan penyokong melonjak kegembiraan, menyedari bahawa mereka telah berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya untuk bertemu juara bertahan, Argentina.
Penyokong negara tersebut dijangka akan meraikan kejayaan itu hingga ke larut malam selepas kejayaan bersejarah mereka.

Cape Verde Ikuti Jejak Langkah Lakar Sejarah Unik Dalam Piala Dunia
Namun begitu, dengan keputusan seri dalam perlawanan ini, Cape Verde turut mencipta satu pencapaian unik apabila mereka menjadi negara keempat dalam sejarah yang mencatatkan tiga keputusan seri dalam tiga perlawanan pembukaan Piala Dunia mereka.
Wakil Afrika itu menyertai senarai elit yang terdiri daripada Wales (1958), Cameroon (1982) dan Republik Ireland (1990).
Wales mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Hungary dan Mexico manakala seri tanpa jaringan pada aksi terakhir bertemu Sweden.
Cameroon pula seri tanpa jaringan menentang Peru serta Poland dan kemudiannya terikat 1-1 bertemu Itali.
Manakala Republik Ireland seri 1-1 menentang England dan Belanda serta terikat tanpa jaringan bertemu Mesir.
Hanya Cameroon gagal mara ke peringkat kalah mati daripada senarai empat negara yang mencatat keputusan seri dalam tiga perlawanan pembukaan mereka ketika penampilan sulung di Piala Dunia.
Kejayaan Cape Verde mara dalam penampilan sulung mereka menjadikan mereka pasukan pertama melakukannya sejak Slovakia pada 2010, selain menjadi pasukan ‘debut’ pertama yang tidak tewas dalam peringkat kumpulan sejak Senegal pada 2002.
Negara Afrika itu pada awalnya tidak dijangka untuk layak daripada kumpulan yang turut menampilkan pasukan-pasukan yang pernah menjuarai kejohanan ini sebanyak tiga kali iaitu Sepanyol dengan satu gelaran dan Uruguay dengan dua kejuaraan.
Peminat bola sepak di seluruh dunia kini menjangkakan Argentina akan mara mengatasi mereka pada pusingan seterusnya. Namun begitu, berdasarkan prestasi mereka sepanjang kejohanan ini, juara Piala Dunia semasa itu tidak wajar menganggap ia sebagai tugas mudah, memandangkan Cape Verde berjaya mencatatkan keputusan seri menentang Sepanyol dan Uruguay.