Empat pasukan terbaik akhirnya sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Futsal Malaysia (PFM) 2025 selepas menampilkan aksi konsisten ketika menghadapi dua perlawanan suku akhir.

Seperti dijangka pasukan-pasukan pilihan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Pahang Rangers dan Sabah mencatatkan kemenangan dengan jumlah jaringan lebih daripada 10 gol untuk meneruskan kemaraan bagi memburu kejuaraan.

Baca Juga:

Piala Futsal Malaysia
Kredit Foto: JDT Futsal

JDT yang masih segar dengan kejayaan muncul juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) langsung tidak berdepan masalah untuk menundukkan TOT United dengan agregat 15-1.

Naib juara liga dan satu-satunya pasukan yang berupaya menundukkan JDT pada musim ini iaitu Selangor juga tampil cemerlang membelasah KL City dengan agregat 16-1.

Juara PFM edisi 2023, Pahang Rangers pula menundukkan pasukan tangga kedua MPFL Divisyen 2, Terengganu dengan keputusan agregat 12-3.

Piala Futsal Malaysia 2025: Senarai Pasukan Ke Separuh Akhir
Kredit Foto: FAM

Sabah yang menambah kekuatan pasukan dengan tambahan beberapa pemain termasuk dua pemain import baharu berjaya menewaskan juara MPFL Divisyen 2, USMKK 11-5.

Aksi Separuh Akhir Piala Futsal Malaysia 2025

Dengan lengkapnya senarai empat pasukan ke separuh akhir, JDT akan berhadapan dengan Pahang Rangers manakala Selangor pula bakal menanti cabaran Sabah.

Saingan Piala Futsal Malaysia musim lalu menyaksikan JDT muncul juara selepas menundukkan Selangor 3-2 pada aksi final yang berlangsung diĀ Axiata Arena, Bukit Jalil.