Pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mempamerkan aksi kemas untuk mengesahkan tempat ke pentas final kejohanan Terbuka Taiwan 2026.
Ia merupakan kali kedua pasangan rersebut melangkah ke final pada tahun ini apabila sebelum ini mereka melakukannya di Indonesia Masters.
Diletakkan selaku pilihan utama kejohanan berstatus Super 300 itu, Pearly dan Thinaah tidaklah terlalu berdepan masalah untuk mengenepikan cabaran pasangan dari Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai dalam aksi ‘straight set’.
Pearly-Thinaah Ke Final
Corak permainan penuh variasi ditampilkan membolehkan anak buah Rosman Razak itu menang 21-15 pada set pertama untuk memberikan kelebihan moral buat mereka.
Set kedua memperlihatkan saingan lebih sengit ditampilkan Corbett dan Jennie yang berada di ranking ke-27 dunia.
Namun, semua itu tidak merentap semangat juang Pearly Tan-M. Thinaah untuk mengesahkan kemaraan hasil kemenangan 21-17 bagi melangkah ke final.
Menanti pasangan ranking kelima dunia itu di final esok ialah Sumire Nakade- Miyu Takahashi dari Jepun yang terlebih dahulu menundukkan wakil Thailand, Mijad Hathaithip-Napapakorn Tungkasatan.
Sementara itu satu lagi wakil negara akan turun kira-kira jam 5.30 hingga 6.00 petang nanti apabila Aaron Chia-Aaron Tai berhadapan dengan pasangan tuan rumah, Chen Cheng Kuan-Liu Kuang Heng.
Kejohanan Terbuka Taiwan 2026 merupakan saingan dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang berstatus Super 300.